Walaupun mata lebih terarah kepada persaingan di antara pasukan berstatus WorldTeam dan ProTeam dalam Le Tour de Langkawi 2023, 23-30 September ini, semua 11 pasukan benua (Continental) tetap bersedia untuk mencuri tumpuan.

Malah, dalam sejarah penganjuran LTdL sejak 26 edisi lalu, beberapa pasukan berstatus Continental dari Asia pernah memenangi pelbagai jersi dan klasifikasi yang dipertandingkan, sejak kali pertama pelumba kelahiran Hong Kong yang mewakili Team Telekom All Stars, Wong Kam Po memecah dominasi pelumba Eropah dengan menang Peringkat 4 Lumut-Tanah Rata pada LTdL 2000.

Berdasarkan senarai pasukan benua yang diundang pada edisi ke-27 kali ini, tidak mustahil pelumba pasukan benua dari Asia akan menyinar lagi untuk berdiri sama tinggi dengan pelumba dari pasukan WorldTeam dan ProTeam Eropah.

Selain lima pasukan Asia Tenggara termasuk skuad kebangsaan Malaysia, enam pasukan benua Asia yang sudah menyatakan persetujuan untuk berkayuh dalam LTdL2023 adalah KSPO Pro dari Korea Selatan, JCL Team Ukyo (Jepun) dan tiga pasukan dari China ā€“ Hengxiang Cycling Team, Li Ning Star dan Giant Cycling Team. Satu lagi pasukan benua adalah St George Continental Cycling Team dari Australia.

Daripada enam pasukan ini, KSPO, Ukyo, Hengxiang, GIant serta St George pernah tampil beberapa kali dalam LTdL manakala Li Ning akan tampil untuk kali pertama.

Sebelum ini, pihak penganjur LTdL 2023 menamakan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), 7-Eleven Cliqq-Air21 (Filipina), Nusantara Cycling Team (Indonesia) dan Roojai Online Insurance (Thailand). Skuad kebangsaan Malaysia melengkapkan senarai lima pasukan dari Asean.

Difahamkan, penganjur kini sedang dalam proses mengenal pasti satu lagi pasukan benua Asia bagi mengisi senarai 11 pasukan benua.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, kematangan yang ditunjukkan pelumba dan pasukan benua Asia dalam LTdL saban tahun membuktikan mereka menimba banyak pengalaman dan pembelajaran apabila berada di dalam peloton yang didominasi pelumba dan pasukan handalan Eropah.

ā€œPeminat mungkin mahu menyaksikan LTdL ini dipenuhi dengan nama-nama pasukan besar dari Eropah tetapi kita tidak harus mengetepikan objektif asal penganjuran LTdL itu sendiri iaitu memberi kesempatan kepada pelumba benua Asia berkayuh dan bersaing dengan pelumba handalan dunia.

ā€œJadi pihak kami sedaya upaya tidak mahu meminggirkan pasukan dari Asia sendiri dengan mengisi separuh slot pasukan yang datang dengan pasukan perofesional benua Asia,ā€ katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, pihak penganjur sudah menamakan tujuh pasukan berstatus ProTeam yang akan bersaing iaitu tiga pasukan yang berdaftar di Sepanyol ā€“ Caja Rural Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Euskaltel Euskadi; Green Project-Bardiani CSF Faizane dan Team Corratec-Selle Italia (Itali), Human Powered Health (Amerika Syarikat) serta Tudor Pro Cycling Team (Switzerland).

Selain TSG yang diharapkan mengulangi kejayaan mereka sebelum ini iaitu jersi kuning menerusi Artem Ovechkin dan empat kemenangan peringkat termasuk tiga dari Harrif Saleh, Emir berkata Hengxiang Cycling Team juga disifatkan pasukan yang berjaya dalam LTdL.

ā€œPeminat pasti masih mengingati kelibat pelumba Hengxiang, Wang Meiyin dalam LTdL 2013 yang menang di Cameron Highlands dan menyarung jersi kuning selama dua hari, selain turut memenangi Jersi Raja Bukit dan Peumba Terbaik Asia pada edisi itu.

ā€œWalaupun beliau sudah bersara dan Hengxiang belum memberi senarai akhir pelumba, pasukan itu yang kini mengandungi dua pelumba Latvia, diakui mempunyai reputasi tersendiri dalam LTdL ini,ā€ katanya.

Selain Hengxiang dan TSG, KSPO juga pernah mencatat kemenangan peringkat dalam LTdL apabila Seo Joon-yong menang Peringkat 5 LTdL 2015. JCL Team Ukyo juga wajar dihormati kerana pasukan Jepun itu kini menduduki tangga ke-36 dunia, berdasarkan ranking terbaru UCI setakat 1 Ogos lalu.

LTdL 2023 yang bertaraf ProSeries, membabitkan saingan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1280.3km dan dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ā 

PASUKAN BENUA DALAM LTDL 2023

TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM (MAS)

7-ELEVEN CLIQQ-AIR21 (PHI)

NUSANTARA CYCLING TEAM (INA)

ROOJAI ONLINE INSURANCE CYCLING TEAM (THA)

HENGXIANG CYCLING TEAM (CHN)

LI NING STAR(CHN)

ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM (AUS)

GIANT CYCLING TEAM (CHN)

KSPO PROFESIONAL CYCLING TEAM (KOR)

JCL TEAM UKYO (JPN)

 

- Advertisement -