Pengendali baharu Paris St Germain, Mauricio Pochettino menjadikan penyerang antarabangsa Argentina, Sergio Aguero sebagai ‘sasaran’ untuk dibawa ke Stadium Parc des Princes.

Namun ia tidak akan dilakukan ketika ini, sebaliknya beliau akan menunggu jendela perpindahan sekitar Ogos nanti dikala pemain berusia 32 tahun itu menjadi pemain bebas.

Aguero masih belum membuat keputusan tentang masa depannya bersama Manchester City ketika ini dimana kontraknya akan tamat penghujung musim ini.

Susulan kecederaan yang seringkali membelenggu dirinya, Aguero seringkali ‘tersisih’ daripada kesebelasan utama The Citizen dan hanya membuat sembilan penampilan setakat ini.

Pochettino percaya kehadiran Aguero di PSG akan memperkukuhkan lagi serangan yang sedia dibarisi bintang dunia seperti Neymar, Mauro Icardi, Angel de Maria dan Kylian Mbappe.

Pengurusan PSG juga perlu bersedia untuk menampung gaji Aguero yang dilaporkan sekitar £240,000 seminggu.

Dalam pada itu, Manchester City juga dilaporkan sedang menanti peluang untuk menyambar bintang Barcelona, Lionel Messi.

Pemain berusia 34 tahun itu dikhabarkan tidak berminat untuk menyambung kontraknya di Nou Camp dan mahu meninggalkan The Catalan.

‘Perang’ diantara Messi dan pengurusan Barcelona bermula pada awal tahun lalu dimana beliau tidak berpuas hati dengan sistem pemotongan gaji yang dilaksanakan kelab ketika pandemik Covid 19 melanda seluruh dunia yang memaksa aktiviti sukan termasuk bolasepak dihentikan.

Khabar angin bertiup mengatakan penyerang kelahiran Argentina itu akan terbang ke Amerika Syarikat untuk menyertai MLS.

Kejayaan perpindahan ‘terbesar’ ini bagaimanapun bergantung kepada kesanggupan kelab yang berminat untuk memenuhi permintaan Messi termasuk jumlah gaji yang tinggi.

Barcelona juga sedang berusaha untuk memujuk Messi agar kekal di Nou Camp.

 

 

- Advertisement -