Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kemaskini terbaru mengumumkan 30,600 keping tiket untuk perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November ini telah terjual.

Jumlah yang direkodkan sehingga lewat malam Selasa ini sudahpun hampir menyamai jumlah lebih 32,000 penyokong yang menyaksikan pertembungan Malaysia – Myanmar dalam aksi terakhir kumpulan pada edisi 2016 di Yangon dan diyakini dalam tempoh beberapa hari yang tinggal akan terus mencatatkan peningkatan.

Sepertimana diketahui, tiket untuk aksi penting ini yang akan menentukan kemaraan ke separuh akhir telah dijual di butik-butik terpilih Al-Ikhsan (dan juga dua butik Football Republic), kaunter di Wisma FAM dan melalui penjualan atas talian oleh Ticket Hotline.

Cuma, mekanisma yang digunakan dalam penebusan tiket atas talian ada menimbulkan rasa tidak puas hati rata-rata penyokong.

Bagi penyokong-penyokong yang masih belum membeli tiket perlawanan, mereka turut boleh mendapatkannya di kaunter khas yang dibuka di Wisma FAM pada Rabu dan Khamis (21 dan 22 November) bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Jika gagal mendapatkannya di situ, kaunter jualan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil akan mula dibuka pada Jumaat (23 November) bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang dan pada hari perlawanan dari jam 10 pagi hingga sepak mula perlawanan atau sehingga tiket habis terjual.

Harga tiket perlawanan ditetapkan FAM adalah RM30 untuk pentas utama, RM20 untuk tempat duduk terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak.

Sementara itu, FAM turut memaklumkan bahawa pembelian secara atas talian di laman sesawang Ticket Hotline masih lagi boleh dilakukan namun hanya melibatkan tiket untuk tempat duduk terbuka, dengan kaunter penebusan tiket akan dibuka di SNBJ bermula esok Khamis (22 November) hingga hari perlawanan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -