Syaidatul Afifah

Oleh Muhammad Aiman

Sin Li Jane mengetuai kemaraan pemain boling wanita negara ke pusingan kedua Terbuka Greater Detroit dalam Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA), di Amerika Syarikat pada Sabtu.

Li Jane yang muncul juara Terbuka Malaysia pada April lalu, mencatat keseluruhan 2,679 jatuhan pin dalam 12 permainan dua blok untuk menamatkan pusingan awal di Super Bowl di tempat keenam.

Bulan lalu, Li Jane menduduki tempat kelima dalam Kejohanan Queens USBC di Las Vegas – kejohanan pembuka tirai dalam jelajah PWBA – dan atlet kelahiran Perak itu mensasarkan kedudukan lebih baik kali ini . 

Mengiringi Li Jane ke pusingan kedua adalah Syaidatul Afifah Badrul Hamidi yang sebelum ini telahpun mengesahkan tiket beraksi di final stepladder Terbuka Wichita 26 Jun depan – Syaidatul menamatkan pusingan awal di tempat ke-13 setelah melakukan 2,616 jatuhan pin.

Pemain senior dalam pasukan, Esther Cheah turut mara apabila menduduki tempat ke-19 dengan 2,596 jatuhan pin.

Hanya 32 pemain teratas dari seramai 112 pemain akan mara ke pusingan kedua, sekaligus bermakna lima lagi atlet negara iaitu Natasha Roslan (34), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (42), Syazwani Sahar (67), Nora Liyana Nastasia Norkamal (73) dan Sharon Koh (75) kesemuanya tersingkir gagal meneruskan kemaraan.

Empat tempat teratas di pusingan pertama didominasi atlet tuan rumah iaitu Rocio Restrepo dengan 2,786 jatuhan pin, Britanny Smith (2,781), Stefanie Johnson (2,758) dan Missy Parkin (2,735).

- Advertisement -