chow-mei-kuan-lee-meng-yean
Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean

Oleh Ku Mohd Lufti

Dua bergu wanita negara gagal meneruskan kemaraan ke peringkat final Kejohanan Badminton Grand Prix Taiwan Masters selepas terkandas di peringkat separuh akhir hari ini.

Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean gagal mengatasi gandingan Jepun yang juga pilihan pertama kejohanan Yuki Fukushima – Sayaka Hirota apabila tewas straight set 11-7, 11-7, 11-3.

Turut sama menerima kekalahan satu lagi gandingan bergu wanita Lim Yin Loo – Yap Cheng Wen apabila tewas dalam masa 29 minit kepada pilihan keempat, juga dari Jepun, Shiho Tanaka – Koharu Yonemoto 11-8, 11-9, 11-6.

Perjuangan Malaysia di Taiwan Masters  kini disandarkan kepada perseorangan lelaki professional, Liew Daren yang melakar kemenangan ke atas pemain tuan rumah yang diletak selaku pilihan kelima, Lin Yu Hsien.

Liew Daren bagaimanapun dipaksa bermain empat set sebelum melakar kemenangan 11-9, 6-11, 11-3, 12-10 untuk melangkah ke final buat pertama kali.

Beliau akan berdepan pemain India, Sourabh Varma yang melakar kejutan, menewaskan pilihan utama kejohanan, Hsu Jen Hao straight set 11-4, 11-7, 11-9.

- Advertisement -