Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melangsungkan Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 dan telah dirasmikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan di Saloma Kuala Lumpur, hari ini. 

Bagi saingan LWN 2025 yang dianjurkan bersama Sports Media Inc, 8 pasukan bakal berentap bagi merebut gelaran juara di mana untuk musim ini, FAM telah memperkenalkan peraturan baharu di mana pasukan bertanding boleh mendaftarkan dua pemain import. 

Pengenalan peraturan baharu ini adalah sebahagian daripada inisiatif FAM untuk memastikan liga bola sepak wanita negara menjadi pentas kompetitif selaras dengan usaha pembangunan bakat muda. 

8 pasukan berkenaan adalah Kelana United FC, Sabah FA, Selangor FC, Red Eagles FC termasuk empat pasukan baharu iaitu Young Tigress, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA dan MBSJ FC. 

Majlis Pelancaran LWN 2025 itu turut dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan Exco FAM, Dato’ Suraya Yaacob selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM. 

YB Hannah Yeoh di dalam ucapan beliau menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada FAM dan semua pihak yang terlibat atas dedikasi dan komitmen berterusan dalam menyediakan ruang serta peluang kepada pemain bola sepak wanita di Malaysia. 

Pelancaran LWN 2025 ini membuktikan bahawa bola sepak wanita mempunyai potensi yang sangat cerah sekiranya terus diberi sokongan dan berada di landasan pembangunan yang tepat dan peningkatan penyertaan pasukan bagi musim 2025 bukan sahaja mencerminkan populariti yang kian meningkat, malah menunjukkan tahap keyakinan serta penghargaan masyarakat terhadap bola sepak wanita tempatan. 

“Inisiatif seperti ini penting dalam mewujudkan ekosistem yang inklusif, mampan dan kompetitif, bukan hanya untuk mencipta kejayaan di peringkat nasional, malah membuka jalan ke pentas antarabangsa,” kata YB Hannah Yeoh. 

Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan dana Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM840,000 untuk penganjuran LWN bagi edisi kali ini. 

Suntikan ini menunjukkan KBS dan Kerajaan komited dalam pembangunan sukan bola sepak wanita Malaysia. 

Sementara itu, Dato’ Suraya Yaacob menjelaskan bahawa pelaksanaan pendaftaran dua pemain import untuk setiap pasukan bertanding bagi LWN 2025 kali ini memberi nilai tambah kepada liga bola sepak wanita negara. 

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya saing pasukan tetapi juga membuka ruang untuk pemain tempatan belajar dan berkembang bersama pemain bertaraf antarabangsa.

“Ia turut mencerminkan kesungguhan kita untuk membawa bola sepak wanita ke tahap yang lebih profesional dan berdaya saing di peringkat serantau dan global lebih-lebih lagi 8 pasukan bertanding ini sudah tentu mahu merebut slot ke Peringkat Kelayakan AFC Women’s Champions League, tahun hadapan,” kata Dato’ Suraya. 

8 pasukan ini akan mengharungi 56 perlawanan di mana aksi LWN 2025 telah bermula pada Sabtu, 12 Julai lalu di antara Red Eagles SC berjaya mengikat juara bertahan LWN 2024, Kelana United FC dengan keputusan 1-1.

- Advertisement -