V Shem-Wee Kiong

Oleh Muhammad Aiman

Kejayaan meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio De Janeiro baru-baru ini melonjakkan kedudukan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong ke ranking kesembilan dunia dan pasangan itu mensasarkan untuk terus mendaki sehingga ke kedudukan lima terbaik dunia dalam tempoh terdekat.

V Shem dan Wee Kiong berada di kedudukan ke-12 dunia sebelum dan sepanjang olimpik berlangsung dan perkembangan terbaru ini bermakna mereka buat pertama kalinya memecah masuk ke kelompok sepuluh terbaik dunia sejak digandingkan dua tahun lalu.

Justeru, pasangan itu berpendapat pencapaian di Rio seharusnya menjadi permulaan untuk mereka terus mengorak langkah ke depan dan mencari lebih banyak kejuaraan terutamanya gelaran Super Series yang belum pernah dimenangi.

“Kami akan kembali berlatih pada Khamis depan dan perlu terus fokus dalam semua aspek selepas ini. Kami tidak boleh terus tenggelam dengan kejayaan di Rio dan perlu konsisten, menyusun strategi untuk meningkatkan kualiti permainan dan memburu lebih banyak gelaran supaya dapat segera melonjak ke ranking lima teratas dunia,” kata Wee Kiong.

Manakala V Shem berkata, “Ia bukan sesuatu yang mudah tapi kami perlu bekerja keras. Selepas itu barulah fikir tentang nombor satu dunia, memang itu juga menjadi sasaran kami tetapi semua pemain pun mahu berada di kedudukan nombor satu. Semuanya perlu dilakukan satu persatu dan kami perlu sabar.”

Pada Olimpik Rio yang menutup tirainya minggu lalu, V Shem dan Wee Kiong mencuri tumpuan ramai apabila menyingkirkan pasangan nombor satu dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong di suku akhir dan kemudiannya menewaskan gandingan nombor enam dunia Chai Biao-Hong Wei di separuh akhir dalam laluan ke final.

Malah mereka dua kali berada di mata penamat untuk meraih emas sebelum akhirnya dikecewakan satu lagi pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan dalam pertarungan sengit tiga set.

Sementara itu, kejayaan meraih pingat emas olimpik menyaksikan Fu Haifeng dan Zhang Nan naik ke kedudukan kedua dunia berbanding empat sebelumnya, manakala Yong Dae-Yeon Seong kekal di kedudukan nombor satu dunia.

- Advertisement -