jun.hoong
Jun Hoong

Oleh Muhammad Aiman

Goh Liu Ying dan Cheong Jun Hoong terus menerima durian runtuh susulan pencapaian mereka membawa pulang pingat perak dari temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 yang melabuhkan tirainya dua minggu lalu.  

Liu Ying yang meraih pingat perak acara beregu campuran badminton bersama gandingannya Chan Peng Soon, ditawarkan sebidang lot tanah dengan bayaran premium oleh Kerajaan Negeri Melaka membabitkan kawasan seluas kira-kira 464 hingga 929 meter persegi sama ada di Semujuk, Jasin atau di Durian Tunggal, Alor Gajah.

“Kita beri kebenaran dan akan meluluskan pemilikan tanah lot yang dibahagikan oleh kerajaan kepada pegawai kerajaan jika Liu Ying memohon. Selepas memilikinya (tanah), beliau boleh membina rumah.

“Keistimewaan ini diberi kepada Liu Ying kerana kesungguhannya sebagai anak jati Melaka membawa pulang pingat yang menjadi rebutan,” kata Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Idris Haron selepas Program Sarapan Khas bersama pemain itu di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara pada Jumaat.

Selain itu, Idris memaklumkan Liu Ying serta Peng Soon turut menerima ganjaran RM50,000 daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, Jun Hoong yang meraih pingat perak bersejarah dari acara terjun 10m platform seirama bersama gandingannya Pandelela Rinong pula dihadiahkan seunit pangsapuri bernilai RM320,000 oleh Kerajaan Negeri Perak.

Selain pangsapuri di Casa Kayangan@Meru yang terletak di Meru itu, Jun Hoong turut menerima insentif wang tunai berjumlah RM15,000.

“Ia sangat istimewa, saya tak dapat luahkan perasaan saya dengan kata-kata. Kebetulan pula saya memang sedang mencari sebuah rumah, jadi hadiah ini memang sangat bermakna. Ia juga akan menjadi satu motivasi buat saya untuk berusaha dengan lebih gigih baik dalam bidang sukan mahupun bidang lain,” ujar atlet berusia 26 tahun itu.

Pengumuman dan penyampaian insentif itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Ipoh pada Jumaat.

- Advertisement -