“Lupakan dahulu aksi bersama Harimau Malaya, jika sayangkan karier,” itu nasihat pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel kepada penyerangnya Zaquan Adha Abdul Radzak.

Maciel berkata demikian kerana Zaquan masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan retak tulang tangan kiri yang dialami sejak 9 Jun lalu ketika menentang Melaka United dan jika dia memilih untuk beraksi menentang Fiji pada 5 Julai depan, Maciel khuatir ia mendedahkan pemain itu kepada risiko kecederaan yang hanya akan memberi kesan kepada kariernya.

Malah, Maciel menegaskan dia sendiri belum berani menurunkan pemain berusia 30 tahun itu dalam beberapa perlawanan lalu bagi memberikannya ruang yang cukup untuk pemulihan justeru dia berharap Zaquan akan mempertimbangkan nasihat yang diberi itu.

“Bukan mahu menghalang atau keberatan untuk melepaskan, tetapi kecederaan Zaquan memang secara luaran nampak dah ok, tetapi ianya masih lagi baru dan berpotensi untuk kembali retak jika salah langkah. Lagipun dia lama tidak beraksi, sudah tentu tidak akan berada pada tahap prestasi terbaik nanti.

“Aksi menentang Fiji hanyalah persahabatan dan Zaquan masih berpeluang untuk bermain dengan Harimau Malaya dalam banyak lagi perlawanan lain selepas benar-benar pulih dari kecederaan nanti. Ini bukan nasihat untuk kepentingan pasukan Kuala Lumpur, tetapi nasihat demi karier Zaquan itu sendiri,” ujarnya.

Laporan media tempatan menyatakan Zaquan bagaimanapun akan tetap melapor diri di kem kebangsaan dan menyerahkan kepada jurulatih Tan Cheng Hoe untuk membuat keputusan sama ada mahu mengekal atau menggugurkannya.

Zaquan memainkan peranan selaku kapten pasukan dan menjaringkan empat gol ketika Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama 16 bulan dengan menewaskan Bhutan 7-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada April lalu dan kelibatnya sekali lagi menjadi sandaran utama di barisan depan.

Cheng Hoe sudah sedia kehilangan N.Thanabalan dan Ahmad Hazwan Bakri kerana kecederaan manakala Shahrel Fikri Mohd Fauzi pula baru sahaja melapor diri di kem Nakhon Ratchasima. Justeru jika terpaksa menggugurkan Zaquan, Cheng Hoe hanya mempunyai kelibat dua penyerang Johor Darul Takzim iaitu Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad untuk dipertaruhkan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -