Pemain bergu wanita muda negara, M Thinaah-Pearly Tan melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Terbuka Switzerland.

Turun dengan status underdog, Thinaah dan Pearly nyata tidak menunjukkan rasa gentar ketika menentang pasangan pilihan ketiga dari Bulgaria, Gabriela Stoeva, Stefani Stoeva.

Set pertama, bergu negara mendahului 8-4 pada satu ketika, namun Gabriela-Stefani bangkit untuk merapatkan jurang mata 19 sama.

Percaturan M Thinaah-Pearly Tan yang kekal fokus untuk mencari mata membuahkan hasil apabila menang 21-19

Seakan akan sudah mampu membaca rentak permainan lawan, Thinaah dan Pearly terus meraih mata dan mengekalkan serangan bertubi tubi sekaligus menang 21-12 untuk muncul juara.

“Kami begitu gembira dengan perlawanan hari ini kerana kami mengikuti cara permainan kami dan tidak bermain cara permainan lawan. Ini adalah kemenangan yang hebat untuk kami berdua kerana ia membantu membina keyakinan dan memberi motivasi untuk kejohanan seterusnya,”kata M Thinaah

Pearly Tan pula berkata,”Saya gembira dengan persembahan keseluruhan kami di Terbuka Switzerland kerana kami telah berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan berjuang habisan sehingga tamat perlawanan. Kami juga berharap dapat kekalkan momentum ini dan memperbaiki lagi kelemahan untuk kejohanan akan datang.”

Lain lain keputusan, pilihan keenam dari Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue menang ke atas Mathias Christiansen-Alexandra Bøje 21-19, 21-19.

Perseorangan lelaki, pilihan pertama perseorangan lelaki, Viktor Axelsen dari Denmark menundukkan Kunvalut Vitidsarn 21-16,21-6.

Pilihan keenam dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pula mengungguli saingan bergu lelaki selepas menundukkan pasangan dari Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 21-16, 21-11.

Manakala pilihan pertama perseorangan wanita, Carolina Marin mengesahkan kejuaraan kejohanan Super 300 selepas menundukkan pilihan kedua dari India Pusarla V Sindhu 21-12, 21-5.

- Advertisement -