Aflah Adlan Prawira dan Thitira Charoensup di nobat raja dan ratu 5km

Aksi kompetitif pertama di tasik langsung tidak menjadi penghalang buat perenang muda kebangsaan Magdalene Lau untuk tampil cemerlang apabila dia meraih pingat perak pada Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara sulung (SEAOWSC) yang membuka tirainya dengan perlumbaan 5km hari ini.

Anak kelahiran Sarawak itu menamatkan saingan tiga pusingan di Tasik Putrajaya itu di tempat kedua bagi kategori wanita 16-17 tahun di belakang pencabar Thailand Catherine Sherratt dengan catatan masa satu jam, tiga minit, 48.4 saat (1:03:48.4).

Ia merupakan pencapaian yang membanggakan kerana turut meletakkan Magdalene di tempat kelima dalam ranking keseluruhan yang merangkumi para peserta daripada tiga kategori lain iaitu 20 tahun ke atas (terbuka), 18-19 dan 14-15.

Catherine muncul juara saingan wanita 16-17 tahun selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 1:03:33.07 sementara atlet Singapura Ashley Ng melengkapkan kedudukan tiga teratas dengan 1:04:18.2.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan saya mampu meraih kedudukan podium kerana baru mula berjinak dalam disiplin perairan terbuka dan kali pertama bertanding. Selama ini saya cuma berlatih sahaja,” kata Magdalene.

“Memenangi pingat pertama dalam penyertaan sulung renang perairan terbuka dan kali pertama mewakili negara, saya pasti akan mengingati detik ini buat selama-lamanya.

“Secara jujurnya, berenang di tasik adalah jauhberbeza dan mecabar daripada di kolam. Segalanya agak kabur, jadi sayabergelut untuk berenang dalam baris menegak!”
Dalam perlumbaan lelaki 16-17 tahun, Lim Kai Yi juga tidak ketinggalan menyumbangkan satu lagi pingat perak untuk tuan rumah.

Atlet kelahiran Perak itu tiba di garis penamat dengan catatan 59:04.6 untuk meraih tempat keduadi belakang Nitis Natesawang (58:51.6).

“Saya berjaya mengatasi catatan peribadi terbaik saya dengan empat minit, namun ia adalah sesuatu yang diduga kerana sebelum ini saya beraksi di lautan terbuka,” kata Kai Yi, yang merupakan anak didik bekas juara Sukan SEA Kevin Yeap.

“Saya mahu menjadi sehebat ‘sifu’ saya Kevin dan mengikut jejak langkahnya suatu hari nanti. Pencapaian podium peringkat Asia Tenggara ini akan saya jadikan sebagai batu loncatan.”

Empat lagi wakil tuan rumah yang meraih pingat pada hari pembukaan ialah Hannes Wan (perak, lelaki 14-15) dan Aslan Adnan (gangsa, lelaki 14-15), Lynna Yeow (perak, wanita 14-15) dan Teoh Kai Ning (wanita 14-15).

Sementara itu, Aflah Fadlan Prawiradari, Indonesia dan Thitirat Charoensup masing-masing dinobatkan selaku raja dan ratu 5km.

Tatkala Aflah, 25,menepati ramalan untuk mengungguli saingan, lain pula ceritanya buat Thitirat kerana anak gadis yang baru berusia 14 tahun melakukan kejutan besar apabila mengatasi pencabar Indonesia Adinda Larasati Dewi Kirana yang sembilan tahun lebih tua daripadanya sebanyak enam saat.

Thitirat, yang menjuarai kategori 14-15 dengan catatan 1:00:57.4, jelas puas selepas meraih gelaran pertama dalam penampilan sulung antarabangsanya.

“Daripada perenang nombor satu di Thailand, saya kini boleh berbangga selaku juara Asia Tenggara,” katanya.

“Cabaran di peringkat antarabangsa sememangnya sengit. Saya telah bersaing rapat dengan Adinda untuk 4km pertama.Selepas selesai perlumbaan, kami sempat bersapa dan menjadi kawan.”

Bagi Aflah, kemenangan hari ini sekaligus menebus kekecewaannya pada enam tahun lalu di Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Ini kali kedua saya bertanding di venue ini. Pengalaman pertama saya ialah di Sukan SEA 2017, ketika itu saya sekadar meraih gangsa tewas kepada lagenda tuan rumah Kevin Yeap,” katanya.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana menjayakan kejohanan sulung ini. Ia sememangnya satu usaha yang bagus kerana kami sememangnya mendahagakan pertandingan seperti ini. Kalau boleh, saya harap ia akan diadakan setiap tahun.”

SEAOWSC akan diteruskan dengan saingan 10km yang merupakan acara rasmi temasya Olimpik.

- Advertisement -