hockey.12

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia mengakhiri cabaran di Festival Hoki Antarabangsa, Melbourne di tempat keempat setelah gagal melakar walau satu pun kemenangan dalam empat perlawanan yang diharungi.

Aksi penentuan pingat gangsa sebentar tadi, menyaksikan skuad bimbingan Stephen Van Huizen kecundang 1-4 kepada India – kekalahan kedua mereka kepada jaguh Asia itu dalam tempoh empat hari dan yang ketiga berturut-turut di kejohanan ini.

Gelaran juara pula menjadi milik tuan rumah, Australia yang melakar kemenangan keempat-berturut-turut dengan menundukkan New Zealand, 3-1 dalam aksi final.

Malaysia yang menamatkan peringkat kumpulan dengan hanya satu mata hasil keputusan seri menentang New Zealand pada perlawanan pembukaan, turun mencari kemenangan saguhati namun India nyata terlalu hebat untuk mereka tandingi.

India hanya mengambil masa dua minit untuk berada di depan menerusi sentuhan Akashdeep Singh sebelum VR Ragunath menggandakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia cuba kembali dalam saingan apabila Joel van Huizen mengecilkan jurang pada minit terakhir suku ketiga tetapi India memastikan kemenangan menerusi jaringan Tashwinder Singh dan Rupinder Pal Singh masing-masing pada minit ke-52 dan 58.

Ia adalah kekalahan keempat Malaysia kepada India sepanjang tahun ini setelah tewas 1-6 di Piala Sultan Azlan Shah pada April, 0-1 di Trofi Juara-Juara Asia dan 2-4 pada Khamis lalu ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi peringkat kumpulan.

Bagi Stephen, “Kita bermula dengan goyah setelah melepaskan gol yang membias hasil pukulan kencang ke dalam kawasan D namun selepas itu kita telah berjaya memperbaiki prestasi. Permainan dilihat seimbang selepas itu, tetapi kita memberikan pukulan sudut penalti hanya seminit sebelum masuk ke suku ketiga dan mereka manfaatkannya.

“Di kala kita cuba mencari gol penyamaan setelah Joel merapatkan jurang, kita dihukum dengan gol mudah. Kita tetap tidak mengalah dan cuba bangkit tetapi sekali lagi memberikan pukulan sudut dari bola mudah yang sepatutnya boleh diselamatkan.”

Dalam pada itu, aksi final menyaksikan Australia mendahului menerusi tolakan jarak dekat Trent Mitton pada minit ke-24 sebelum Christopher Bausor menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-37.

Kane Russell merapatkan kedudukan buat Black Sticks pada minit ke-48, sekadar untuk menyaksikan Australia memuktamadkan kemenangan 3-1 pada minit ke-50 hasil jaringan Jeremy Hayward.

- Advertisement -