Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memaklumkan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan di
bawah bimbingan Jurulatih, A. Arulselvaraj tidak akan menyertai Kejohanan Trofi Juara-
Juara Asia (Lelaki) 2021 di Dhaka, Bangladesh yang dijadualkan berlangsung pada 14
hingga 22 Disember 2021.

Keputusan ini dibuat setelah mengikut arahan dan pandangan daripada pihak Majlis Sukan
Negara (MSN) juga Kementerian-Kementerian yang bertanggungjawab mengenai hal
Pandemik Covid-19 di Malaysia untuk Malaysia menarik diri daripada menyertai kejohanan
tersebut.

Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyaksikan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan perlu
menjalani kuarantin kendiri bermula 8 hingga 14 Disember 2021 jika mahu berlepas ke
Dhaka, Bangladesh yang sekaligus memberi kesan kepada tarikh kejohanan.

KHM juga membuat keputusan untuk menarik diri daripada Kejohanan Trofi Juara-Juara
Asia (Lelaki) selepas melihat situasi yang berlaku kepada Skuad Projek Khas Wanita
Kebangsaan juga kebarangkalian jangkitan Covid-19 yang boleh menjangkiti para pemain
ketika melakukan perjalanan ke Dhaka, Bangladesh.

Antara sebab lain KHM terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri daripada
kejohanan berkenaan adalah ekoran salah seorang pemain Skuad Senior Lelaki
Kebangsaan telah disahkan Positif Covid-19 baru-baru ini dan kini pemain tersebut
termasuk keseluruhan pasukan sedang menjalani proses kuarantin wajib yang telah
ditetapkan.

KHM juga cakna dengan beberapa ketetapan baru oleh Kerajaan Malaysia (prosedur
perjalanan keluar-masuk Malaysia) dalam usaha membendung penularan Covid-19
termasuk kegurasan penularan varian baru Omicron. Oleh yang demikian, KHM juga tidak
akan berkompromi mengenai soal kebajikan, kesihatan dan juga keselamatan pemain-
pemain kebangsaan.

Walaupun tidak menyertai kejohanan tersebut, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan
meneruskan sesi latihan selepas tamat tempoh kuarantin dan akan memberikan fokus
sepenuhnya kepada Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 yang dijadualkan akan berlangsung
pada awal tahun 2022 (Januari atau Februari) namun lokasi berlangsungnya kejohanan
berkenaan masih belum diumumkan oleh pihak Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Untuk makluman, Kejohanan Hoki Piala Asia merupakan kejohanan yang turut
menawarkan tiket ke Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 yang dijadualkan akan berlangsung
pada 13 hingga 29 Januari 2023 di India.

- Advertisement -