Malaysia.singapore

Oleh Ku Mohd Lufti

Skuad Bawah 22 tahun Malaysia melangkah ke peringkat final Piala Negara Negara selepas menundukkan Singapura 3-0 malam tadi.

Skuad kendalian Frank Bernhardt hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai gol menerusi tolakan mudah Muhd Safawi Rasid hasil kesilapan penjaga gol Singapura Muhd Zharfan Rohaizad yang gagal menangkap kemas sepakan percuma Muhd Jafri Muhd Firdaus Chew.

Berselang sembilan minit, Malaysia seharusnya melebarkan kedudukan kepada 2-0 namun Adam Nor Azlin gagal menewaskan Muhd Zharfan dalam situasi satu lawan satu.

Anak anak didik Richard Francis Emile Tardy tampak sudah membaca gerakan pemain pemain Frank Berhardt sekaligus bijak mematahkan serangan Malaysia menyaksikan tiada jaringan tambahan dilakar sehingga tamat babak pertama.

Kemasukkan Muhd Syafiq Ahmad dibabak kedua nyata tidak mengecewakan Bernhardt apabila menjaringkan gol kedua untuk Malaysia tujuh minit selepas babak kedua bermula.

Kesilapan pertahanan sekali lagi mengecewakan Richard Tardy apabila berlaku salah faham antara Muhd Zharfan dan pemain pertahanan sekaligus membuka peluang mudah kepada Syafiq untuk menjaringkan gol.

Malaysia menutup perlawanan dengan meledak gol ketiga menerusi Nur Syamie Iszuan  Amin yang menyudahkan hantaran silang Mohd Farhan Roslan ketika perlawanan berbaki tujuh minit untuk ditamatkan.

Skuad kendalian Frank Bernhardt akan bertemu Thailand untuk penentuan juara Piala Negara Negara edisi pertama manakala Vietnam akan menentang Singapura bagi penentuan tempat ke tiga dan keempat.

Kesemua perlawanan akan berlangsung pada Ahad di Stadium Hang Jebat, Melaka.

- Advertisement -