Skuad Senior Lelaki Kebangsaan berjaya memastikan rekod bersih tanpa kalah kekal menutup aksi peringkat Kumpulan B, Piala Asia 2022, Jakarta, Indonesia sekaligus muncul selaku pasukan teratas Kumpulan B, selepas menundukkan lawan mereka, Bangladesh 8-1 hari ini.

Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu turut menyaksikan Faizal Saari dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan di antara Malaysia menentang Bangladesh selain turut muncul penjaring hatik.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan membuka tirai jaringan pada minit keempat selepas kesilapan yang dilakukan oleh pemain Bangladesh di dalam kawasan gol mereka menghadiahkan Malaysia dengan penalti stroke dan Muhammad Razie Rahim memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol.

Seminit sebelum aksi suku pertama berakhir, Malaysia kali ini dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Razie Rahim sekali lagi memastikan kem negara terus berada di hadapan 2-0 menerusi flik di sebelah bawah kiri pintu gol Bangladesh yang berjaya menewaskan penjaga gol mereka, Biplob Kujur.

Minit ke-21, Bangladesh berjaya mencuri satu gol pada pertemuan hari ini apabila kelebihan pukulan sudut penalti disudahkan oleh Ashraful Islam. Bagaimanapun skuad negara kembali menjarakkan kedudukan menjadi 3-1.

Gol ketiga negara hadir pada minti ke-24 hasil gerakan padang yang bermula daripada bola hantaran Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal ke dalam gawang Bangladesh dan kedudukan Faizal Saari yang tidak dikawal disebelah kiri pintu gol lawan berjaya menolak masuk bola tersebut untuk gol terhasil.

Beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan kelebihan pukulan sudut penalti. Flik yang dilakukan oleh Razie Rahim menghasilkan gol keempat Malaysia dan jaringan hatrik beliau sekaligus menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia tidak menunggu lama untuk terus melebarkan sayap kedudukan kali ini kelebihan pukulan sudut penalti dimanfaatkan oleh Faizal Saari pada minit ke-31 hasil flik terus ke tengah pintu gol Bangladesh.

Minit ke-41, kali ini giliran Muhammad Najmi Farizal Jazlan untuk mencatat nama selaku penjaring selepas kelebihan pukulan sudut penalti ketujuh disempurnakan dengan melakukan flik mencari sudut bawah disebelah kanan pintu gol lawan dan kedudukan berubah menajdi 6-1.

Kem negara terus menjarakkan kedudukan 7-1 pada minit ke-46 hasil gol gerakan padang Faizal Saari yang juga merupakan gol hatrik beliau sebelum Mohamad Ashran Hamsani melengkapkan gol kemenangan Malaysia 8-1 ke atas Bangladesh menerusi gol gerakan padang.

Kini Malaysian Tigers menantikan lawan di Super 4 yang akan bermula pada Sabtu, 28 Mei 2022.

- Advertisement -