Pakar pecut negara, Mohd Harrif Saleh memulakan kalendar 2021 dengan bergaya selepas muncul juara di Grand Prix Velo Manavgat, di Turki semalam.

Kayuhan landai 145.8km jelas dinanti Harrif Saleh dan barisan pelumba TSG yang hanya bergerak dalam peloton sepanjang perlumbaan.

Kerancakkan saingan bermula di kilometer terakhir apabila Harrif atau dikenali dengan ‘Mamat’ bergandingan dengan Youcef Reguigui untuk melakukan henjutan terakhir.

Peranan yang dimainkan Youcef nyata memberi ruang yang cukup baik kepada Mamat yang melakukan pecutan terus ke garisan penamat untuk muncul juara dengan catatan masa 3 jam 13 minit 35 saat.

Pelumba pasukan Mazowsze Serce Polski, Alan Banaszek  kedua manakala Andrii Kulyk daripada pasukan kebangsaan Ukraine ketiga.

Kelibat pelumba kelahiran Itali yang terkenal dengan jolokan Mr Langkawi, Andrea Guardini yang beraksi untuk pasukan Giotti Victoria Savini Due pula dikedudukan keempat.

“Selepas hampir setahun tidak berlumba, saya bangkit pada perlumbaan hari ini dan buktikan rakyat Malaysia, rakyat Terengganu boleh menang di Eropah.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan dan kru pasukan yang berikan 100 peratus,”kata Harrif.

 

- Advertisement -