Oleh Ku Mohd Lufti

Dua tahun telah pun berlalu sejak berjaya menamatkan kemarau pingat emas dalam acara berbasikal lebuhraya, Mohd Hariff Saleh bersedia untuk mempertahankan rekod tersebut dilaman sendiri Ogos ini.

Pelumba Terengganu Pro Asia Cycling (TSG) kini sedang berkampung di Australia untuk menjalani latihan pusat bermula bulan ini sehingga pertengahan Februari sebagai salah satu persiapan untuk Sukan SEA ke 29 nanti.

Latihan dibawah kendalian Jeremy Hunt yang merupakan jurulatih baru TSG diharapkan menambahkan lagi keyakinan terhadap Hariff selain memperbaiki teknik kayuhannya.

“Saya memang berhasrat mempertahankan pingat emas Sukan SEA, lebih-lebih lagi ia diadakan di Malaysia dan persiapan kali ini juga lebih baik. Di Australia memang ada banyak perlumbaan untuk meningkatkan teknik kayuhan dan prestasi.

“Bagi LTdL pula, saya akan buat yang terbaik untuk dapatkan kedudukan podium. Laluan kali ini yang agak landai juga mungkin akan memberi kelebihan,” kata Hariff Saleh.

Pelumba berusia 28 tahun kelahiran Terengganu itu memenangi emas menerusi acara kriterium dan lepas beramai ramai ketika di Sukan SEA 2015.

Selepas menjalani latihan dan menyertai kejohanan lumba basikal di Australia, Hariff perlu bersedia samada diletakkan di dalam senarai pelumba yang akan ke Jelajah Filipina atau Le Tour de Langkawi dimana keputusan akan dibuat oleh Jeremy Hunt berdasarkan penilaiannya sepanjang di Australia.

- Advertisement -