Azman Adnan

Bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Datuk Khaidir Buyong meminta agar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak terburu-buru melantik Nazliazmi Nasir yang kini merupakan pemangku jurulatih menjadi ketua jurulatih baru skuad red giants.

Nazliazmi mengambil alih peranan sebagai pemangku setelah P.Maniam direhatkan dan dia kini disebut sebagai pilihan untuk dilantik secara tetap berikutan kejayaan membimbing Selangor menumbangkan Terengganu FC 3-1 di gelanggang lawan minggu lalu dalam perlawanan pertama kendaliannya.

Kemenangan itu dilihat sebagai kejutan besar oleh rata-rata penyokong kerana Terengganu lebih dianggap sebagai pilihan selain prestasi semasa pasukan Selangor yang cukup hambar, tewas tiga perlawanan terakhir Liga Super sekaligus menimbulkan tanggapan Nazliazmi boleh merubah nasib pasukan itu.

Namun, Khaidir berkata tugas ketua jurulatih adalah satu yang sangat besar dan bukan boleh dinilai menerusi keputusan satu perlawanan, malah ia bukan pengukur sebenar kemampuan seseorang jurulatih.

Sambil mengakui Nazliazmi seorang jurulatih yang bagus, Khaidir berkata lebih elok Nazliazmi dinilai dalam 5-6 perlawanan untuk melihat sama ada dia dapat menghasilkan satu keputusan konsisten dan bersedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab berat itu.

“Nazliazmi bagus, dia bawa skuad Piala Presiden muncul juara. Rata-rata pemain adalah pemain yang diketengahkan olehnya tetapi untuk menjadi ketua jurulatih skuad Liga Super, besar cabarannya. Bagi saya, elok dia bertindak sebagai pemangku, FAS tidak perlu panik dan terburu-buru.

“Jangan bagi dia tekanan, biar dia buat kerja dia. Jika keputusan baik dapat dikekalkan baru pertimbangkan. Kita tidak mahu bila menang satu game, semua cakap dia bagus tapi kemudian kalah dua game semua kutuk dia. Saya berpendapat dia juga lebih selesa macam ni, dia masih muda dan boleh pergi jauh,” kata Khaidir.

Untuk rekod, Selangor memulakan musim dengan dua kemenangan ke atas Kuala Lumpur dan Melaka dan disebut boleh menjadi pencabar Liga Super namun kemudiannya kecundang kepada Terengganu FC, Pahang dan Perak sekaligus menyaksikan Maniam direhatkan.

Selain Nazliazmi, turut dikatakan berada dalam radar Selangor adalah bekas legenda mereka, Azman Adnan yang sebelum ini pernah membimbing PDRM muncul juara Liga Premier. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -