Oleh Muhammad Aiman

Ketua kontijen Malaysia ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017), Datuk Marina Chin mengingatkan barisan pemain hoki wanita negara agar tidak terlalu selesa dengan label selaku pasukan pilihan di temasya dwitahunan itu.

Meskipun beliau sendiri yakin dengan keupayaan pasukan kendalian Muhammad Dharmaraj Abdullah itu mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura, Marina berkata ia memerlukan komitmen dan prestasi terbaik dari semua pemain bagi merealisasikannya.

Menurutnya, “Saya yakin mereka tidak bermasalah untuk bersaing mendapatkan emas, kerana mereka sedang mengikuti latihan mantap dan menunjukkan perkembangan yang baik. Jadi kemungkinan untuk menang emas sekali lagi sangat tinggi.

“Begitupun jangan ambil mudah, dalam sukan tiada pasukan pun yang boleh dikatakan sebagai dijamin emas atau pasti menang. Apa sahaja boleh berlaku, kita tidak tahu persiapan pasukan lain macam mana. Namun, dengan apa yang kita lihat di kem Malaysia, dengan prestasi mereka saya optimis dan harap menang emas.”

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan pasukan hoki wanita negara di Institut Sukan Negara, pada Selasa.

Pasukan hoki wanita negara ketika ini sedang berada pada prestasi yang baik terutamanya selepas melakar sejarah muncul naib juara di Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua (WHLR2) yang berlangsung di Kuala Lumpur Januari lalu.

Ia sekaligus menghadiahkan mereka tiket beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Wanita sama ada di Belgium ataupun Afrika Selatan bagi merebut tiket ke Piala Dunia 2018 di England.

Dalam pada itu, mengenai pasukan hoki dalam dewan, Marina berkata peluang adalah seimbang bagi semua pasukan memandangkan ia adalah satu pertandingan baru di Sukan Sea malahan pemain-pemain juga belum lagi dimuktamadkan.  

- Advertisement -