sarawak.perak

Oleh Muhammad Aiman

Tinggal tiga perlawanan sahaja lagi untuk pusingan pertama Liga Super melabuhkan tirai dan pada ketika Felda United serta Johor Darul Takzim terus bersaing hebat di puncak, masa pula semakin suntuk buat beberapa pasukan untuk kekal di kedudukan 11 teratas bagi melayakkan mereka beraksi di Piala Malaysia.

Walaupun hanya satu pasukan – pasukan tangga tercorot – yang akan tersisih dari beraksi di Piala Malaysia, persaingan dijangka berlangsung sengit di antara enam pasukan termasuk Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sarawak sekiranya mengambil kira beza mata yang tidak terlalu jauh antara mereka.   

Mengikut kedudukan semasa, tekanan kini di bahu Sarawak yang menghuni kedudukan tercorot dengan mengutip hanya lima mata – mereka akan melayan kunjungan pasukan tangga kesepuluh, Pahang di Kuching pada Sabtu, namun beraksi di tempat sendiri bukan lagi satu kelebihan buat skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal.

Sarawak gagal mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan terdahulu di gelanggang sendiri dan menentang Pahang yang sudah mula menunjukkan prestasi baik sejak dibimbing Razip Ismail, Bujang Senang perlu segera bangkit dari prestasi hambar jika berhasrat mengutip tiga mata.

Hanya dua mata yang menjadi pemisah antara Pahang dan Sarawak justeru Tok Gajah juga pastinya tidak mahu melakukan kesilapan di saat yang cukup getir ini dalam memastikan mereka tidak kembali tergelincir dalam kedudukan liga.

Pasukan tangga kesebelas, Pulau Pinang pula berada satu mata di atas Sarawak, dan mereka sedar betapa pentingnya untuk kembali ke landasan kemenangan apabila menentang T-Team di gelanggang sendiri.

Harimau Kumbang kemarau kemenangan sejak tujuh perlawanan lalu dengan satu-satunya kemenangan mereka musim ini adalah ke atas Pahang pada 16 Februari lalu, namun berdepan T-Team yang melakar tiga kemenangan berturut-turut untuk melonjak ke tangga keempat, Pulau Pinang perlu berada pada prestasi terbaik mereka.

Pertembungan dua pasukan bermasalah, Kelantan dan Terengganu di Kota Bharu juga wajar menjadi tumpuan. Kedua-dua pasukan tidak menang dalam tiga aksi terakhir dan  terdesak mencari kemenangan demi mengembalikan semula keyakinan di kalangan pemain dan juga penyokong.   

Kelantan masih belum tewas di gelanggang sendiri musim ini manakala Terengganu pula tidak pernah tewas kepada The Red Warriors dalam empat pertemuan terakhir. Dengan kedua-dua pasukan mengutip sembilan mata, pastinya masing-masing mahu menggunakan peluang ini untuk menjarakkan diri dari empat pasukan yang berada di bawah mereka.

Kedah dan JDT pula akan bertemu di Darul Aman – perlawanan kedua dari tiga perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan pada bulan ini.

Kedah muncul pasukan pertama menoktahkan rekod tanpa kalah JDT dalam 13 perlawanan ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA dan sudah tentu tidak mahu kekalahan kepada T-Team Rabu lalu menjejaskan fokus pemain untuk mengulangi aksi sama sekaligus menyekat dominasi Harimau Selatan yang berada di tangga kedua dengan 20 mata.

Apapun, tugas paling berat mungkin menanti pasukan Perak, yang akan melayan kunjungan Felda United di Ipoh pada Ahad.

Berada di tangga kesembilan dengan tujuh mata, Perak turut berdepan risiko tercicir dalam kedudukan liga justeru tiada pilihan selain menewaskan pendahulu liga itu yang gah mencatat empat kemenangan berturut-turut.

- Advertisement -