Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pasukan Melaka United telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta bagi saingan CIMB Liga Super 2020 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Menerusi kenyataan media oleh Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, keputusan itu dibuat pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara ‘teleconferencing’ bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain, hari ini.

“Pada mesyuarat tersebut, empat kes telah dibincangkan iaitu membabitkan pasukan Melaka, PDRM, Kelantan dan Sarawak.

“Berhubung kes membabitkan Melaka, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020 telah berjaya membuat penyelesaian lebih separuh daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai serta membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

“Namun selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki yang masih tertunggak dibuat oleh pasukan Melaka seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM iaitu ia perlu dijelaskan pada penghujung Februari 2020,”kata Stuart

Tambah Stuart, alasan Melaka United dengan isu pertukaran kerajaan di negeri berkenaan atau pun Perintah Kawalan Pergerakan kerana COVID-19 ketika ini kerana tarikh akhir pembayaran baki yang masih tertunggak tidak boleh diterima pakai

FAM akan memaklumkan segera kepada badan pengendali Liga Super iaitu Malaysian Football League (MFL) bagi pelaksanaan pemotongan tiga mata berkenaan.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan juga akan berdepan satu lagi tindakan iaitu pemotongan enam mata andai Melaka United gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga 30 April.

Dalam pada itu, PDRM yang telah dipotong tiga mata pada 3 Februari 2020, telah mula menunjukkan perubahan positif dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka berbanding sebelum ini.

“PDRM didapati masih mengikut pelan pembayaran ansuran yang diberikan oleh mereka sebelum ini dan FAM berharap ia dapat diterusnya sehingga selesainya baki tunggakan berkenaan,”kata Stuart lagi.

Bagi Kelantan pula, FAM masih memantau pembayaran yang dibuat mereka menerusi jadual pembayaran yang telah dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka bersama pemain dan pegawai terlibat yang mana ketika ini masih berjalan lancar.

“Kes tunggakan gaji membabitkan bekas pemain Kelantan, Amirizdwan Taj Tajudin tidak termasuk dalam ketetapan ini kerana kes berkenaan baru saja dibuat keputusannya pada mesyuarat Jawatankuasa Status FAM, 5 Mac dan hanya akan dibawa untuk penilaian pasukan bagi mendapatkan Lesen Kelab bagi tahun depan, jika pembayarannya belum diselesaikan,”tambahnya lagi.

Sarawak pula telah menyelesaikan tunggakan hutang melibatkan pemain dan pegawai, namun masih mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), sama seperti pasukan PDRM dan Kelantan yang turut mempunyai tunggakan hutang dengan agensi-agensi kerajaan ini sama ada LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagi pasukan-pasukan ini, tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO itu perlu diselesaikan pembayaran atau pelan penyelesaiannya selewat-lewatnya pada 30 April 2020.

- Advertisement -