Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) berjaya menambat hati Presiden Persatuan Wartawan Sukan Antarabangsa (AIPS), Gianni Merlo selepas mendapat pujian kerana berjaya menganjurkan Kongres AIPS Asia 2017 di ibu negara hari ini.

Seramai 80 wakil media termasuk exco AIPS dari serata Asia hadir sejak semalam untuk memberi pandangan dan berkongsi idea di forum sukan bertajuk, Cabaran yang bakal ditempuhi wartawan Asia.

Forum ini disertai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku jaafar dan Presiden AIPS, Gianni Merlo sebagai ahli panel manakala Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa bertindak sebagai moderator.

Turut hadir di Kongres AIPS Asia 2017 ini adalah Presiden AIPS Asia, Mohammad Qassim. 

Bagi Merlo, perbincangan seperti ini adalah penting bagi memastikan idea idea baru dapat dilahirkan untuk membangunkan serta memartabatkan profesion wartawan sukan.

“Acara ini adalah penting kerana akan membawa satu perubahan yang baru seperti tahap pengurusan yang wartawan sukan khususnya ke arah yang semakin baik, malah ahli kongres kami juga turut berdebat membincangkan tentang masa depan.

“Saya juga berharap agar Kongres yang bertaraf lebih tinggi dapat diadakan di sini untuk membincangkan isu semasa kerana profesion sebagai wartawan adalah penting,” kata Merlo.

Tambahnya lagi, dengan cabaran dunia masa kini, peranan media sukan pastinya lebih mencabar dan memerlukan pendekatan yang lebih efisien.

“Di masa depan dalam sukan bukan untuk mengeluarkan perbelanjaan semata mata, tetapi berjimat dan semua orang memerlukan idea yang baru agar tidak terlalu membazir dalam perbelanjaan bagi sektor sukan.

“Pegawai dan atlet seringkali mengkritik tetapi kita berjuang demi pembangunan sukan, dan kami sedia menerima sebarang idea,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa melihat penganjuran Kongres AIPS Asia ini memberi satu nilai tambah khususnya kepada pengamal media sukan.

“Kita memberi peluang kepada ahli ahli persatuan sukan untuk meraih dan menimba pengalaman daripada wartawan wartawan negara lain dalam usaha SAM untuk meningkatkan lagi tahap laporan wartawan sukan di negara kita.

“Yang paling penting adalah integriti, sebagai wartawan sukan, kita harus tahu membezakan samada usaha usaha luar untuk cuba mempengaruhi laporan kita.

Tambah Khawari lagi, adalah tidak mustahil untuk SAM membawa kongres yang bertaraf antarabangsa ke Malaysia berdasarkan pengalaman yang diraih pada hari ini.

“Sejak mengambil alih selepas tujuh tahun, baru kita berani mengadakan kongres peringkat Asia, berkemungkinan kerana pengalaman yang kita raih daripada segi penganjuran membuatkan kita lebih bersedia dan mungkin satu hari nanti Malaysia akan kembali untuk menganjur Kongres peringkat dunia.

“Matlamatnya tetap untuk memastikan kita mampu memberi tambah nilai kepada ahli ahli SAM dengan pembabitan lebih menyeluruh pada masa depan, hasrat untuk menjadi tuan rumah AIPS dunia mungkin menjadi kenyataan,” katanya lagi.

- Advertisement -