foto – Northen Lion Perlis

Tindakan Malaysia Football League (MFL) memberi kebenaran kepada pasukan Perlis untuk beraksi di saingan Liga Premier musim depan ternyata mengundang kritikan dan rasa tidak puas hati banyak pihak.

Sehinggakan ada yang melabel MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengamalkan ‘backdoor deal’ serta sikap pilih kasih memandangkan Perlis diketahui masih menanggung hutang tunggakan gaji sejak 2016 berjumlah jutaan ringgit malah pasukan itu juga tidak layak secara merit kerana menduduki tangga tercorot Piala FAM musim ini.

Jadi bagaimana mereka boleh diberi lampu hijau beraksi di Liga Premier?

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya MFL, Kevin Ramalingam, pasukan itu sememangnya menepati kriteria yang diperlukan untuk ‘diangkat’ beraksi dalam Liga Premier.

“Keputusan itu dibuat selepas kita berpuas hati dengan kedudukan kewangan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan perancangan mereka untuk semusim selain beberapa faktor lain yang dipertimbangkan.

“Sebenarnya kami memiliki dua pasukan yang boleh dipromosi namun selepas membuat pertimbangan, kami dapati Perlis memiliki kestabilan dan kedudukan kewangan yang memberangsangkan di mana mereka boleh terus beroperasi sehingga penghujung musim 2019.

“Bukan setakat faktor kewangan malah kami mempertimbangkan aspek sama ada pasukan itu relevan untuk bertanding atau tidak. Relevan di sini bermaksud sokongan yang boleh diperoleh daripada penyokong pasukan itu.

“Kita tidak mahu pasukan yang dipromosi nanti bergelut di pertengahan musim. Memang merit sukan turut dipertimbangkan namun selepas dinilai secara keseluruhan, sememangnya Perlis paling layak kerana menepati kriteria yang ditetapkan,” katanya dipetik dari akhbar tempatan.

Dalam pada itu, FAM dalam satu kenyataan menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menyatakan pengurusan baru PFA diketuai Presidennya, Dato’ Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji tersebut dan memuji usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan mereka.

Malah menurut Stuart, perbincangan antara pihak FAM, MFL dan PFA yang berlangsung semalam telah mencapai persetujuan bagi mekanisme penyelesaian tunggakan gaji pemain Perlis bagi musim 2016 dan 2017 itu.

“Sudah tentu pengurusan baharu PFA akan cuba menyelesaikannya dalam tempoh masa 60 hari yang telah ditetapkan kerana jika gagal, PFA tidak akan menerima wang agihan dana daripada FAM dan MFL bagi musim 2019 dan wang berkenaan akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji tersebut.

“Sebagai badan induk yang berperanan sebagai penjaga bola sepak Malaysia, FAM sudah tentu akan cuba sedaya upaya untuk membantu dan mencari penyelesaian masalah ahli gabungannya,” kata Stuart.

Justeru itu, Stuart menzahirkan harapan agar ianya dijadikan contoh terbaik dalam memastikan pembangunan bola sepak Malaysia di peringkat negeri dan kelab khasnya dapat diteruskan demi memartabat serta memeriahkan lagi industri bola sepak negara.

Mengenai pasukan-pasukan lain yang masih mempunyai masalah tunggakan gaji pemain, Stuart menjelaskan mekanisme sama akan digunakan iaitu wang agihan dana daripada FAM dan MFL bakal ditahan dan ia akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan.

“Bagi pasukan yang sudah tidak lagi berada dalam sistem Liga Malaysia pula seperti Kuantan FA, Marcerra United, Terengganu City FC, Hanelang FC dan lain, pihak FAM sedang meneliti mekanisme terbaik bagi memastikan nasib pemain-pemain yang masih tertunggak gaji bersama pasukan-pasukan kelab di atas ini terbela.

“FAM akan cuba berbincang secara terus dengan pihak tertinggi persatuan bola sepak negeri di mana kelab-kelab ini bergabung serta bertemu individu penting dalam kelab-kelab berkenaan bagi menyelesaikan juga masalah ini,” katanya. MUHD AIMAN 

- Advertisement -