Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Jawatankuasa Pertandingan telah menetapkan tarikh penganjuran kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 pada 10 November hingga 20 November 2021 dan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021, Lelaki dan Wanita adalah pada 26 November 2021 hingga 2 Januari 2022.

Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB MJHL 2021 akan dilangsungkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mengambil kira setiap garis panduan yang diberikan untuk memastikan kejohanan dilangsungkan dengan selamat.
Pengumuman penetapan tarikh dua kejohanan tersebut telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM menerusi Pengerusi mereka, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, dalam satu hantaran video yang dimuatnaik di laman media sosial rasmi KHM, hari ini.

“Penganjuran Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB MJHL 2021 akan diteruskan di mana KHM dan jawatankuasa saya telah melakukan perancangan serta menyusun jadual dengan sebaiknya selain mengambil kira ruang masa yang cukup untuk setiap pemain mendapatkan suntikan vaksin.

“Kami telah memutuskan di dalam mesyuarat, di mana Piala Tun Abdul Razak 2021 akan berlangsung pada 10 November hingga 20 November 2021, sementara TNB MJHL 2021 akan bermula pada 26 November 2021 hingga 2 Januari 2022.

“Pada 25 Julai 2021, kami akan mengadakan perbincangan yang lebih terperinci untuk menetapkan di mana venue bagi kedua-dua kejohanan, SOP yang perlu dipatuhi serta langkah yang terbaik untuk semua pihak, kerana penganjuran kejohanan TNB MJHL 2021 khususnya akan membabitkan remaja yang masih bersekolah.
“Jika sebelum ini penganjuran TNB MJHL membabitkan pemain di bawah 19 tahun, namun bagi tahun ini kami menaikkan had umur kepada 21 tahun ke bawah.

“Kami juga ada menerima cadangan untuk menaikkan sedikit lagi had umur penyertaan pemain bagi TNB MJHL 2021 namun ianya masih dalam perbincangan tetapi apa yang pasti kejohanan akan dianjurkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” jelas Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh.

Penganjuran TNB MJHL 2021 akan menyaksikan dua divisyen dipertandingkan bagi kategori lelaki sementara wanita kekal dengan satu divisyen.

Setakat ini, KHM telah menerima 10 penyertaan daripada divisyen satu dan 14 penyertaan pasukan divisyen dua bagi kategori lelaki, manakala bagi kategori wanita pula sebanyak 14 pasukan telah menghantar penyertaan.

Untuk rekod, ekoran penularan Wabak Pandemik Covid-19, Kejohanan TNB MJHL pada tahun lalu dibatalkan. Sementara Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 pula dilangsungkan dengan jayanya tanpa menyebabkan sebarang jangkitan Covid-19 dikalangan pemain dan pegawai ataupun menyebabkan wujudnya sebarang kluster melibatkan kejohanan tersebut.
- Advertisement -