Oleh Muhammad Aiman
Atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Husin membawa misi serampang dua mata apabila beraksi di Sukan Universiti Asia yang akan berlangsung di Singapura dari 9 – 19 Julai depan.
Adi bukan sahaja mencari pingat emas kelimanya di kejohanan itu, tetapi turut berhasrat memperbaharui rekod kebangsaan 17.54m miliknya sendiri yang dilakukan ketika di temasya Sukan Sea Indonesia 2011.
Atlet kelahiran Kuala Terengganu itu yang merupakan pemenang emas AUG di Kuala Lumpur 2008, Chiangmai 2010, Vientiane 2012 dan Palembang 2014 yakin dia boleh mencapai sasaran itu berdasarkan kepada prestasi semasa setelah berjaya melakukan lontaran terbaik peribadinya bagi tahun ini – 17.43m ketika beraksi di Terbuka Singapura pada April lalu.
“Sudah hampir lima tahun saya gagal atasi rekod terbaik peribadi saya. Bermakna sudah lima tahun prestasi saya tidak bertambah baik, jadi saya mahu melakukannya kali ini. Saya tahu jika saya mahu menang emas di Sukan Sea, maka saya perlu untuk perbaiki lontaran peribadi terbaik.
“Saya sudah beraksi empat kali di Sukan Sea tetapi tidak pernah memenangi pingat emas,” kata Adi, yang memenangi tiga pingat perak dan satu gangsa sepanjang penyertaannya di temasya sukan dwitahunan itu.
Untuk rekod, Adi sebelum ini mengalami kecederaan ketika beraksi di Terbuka Taiwan di mana dia menarik diri selepas hanya empat lontaran, namun menurutnya kecederaan itu sudah pulih.
Di temasya AUG Singapura nanti, Malaysia akan menghantar seramai 213 atlet untuk mengambil bahagian dalam 13 daripada 16 acara sukan yang dipertandingkan, dan mensasarkan untuk membawa pulang 30 pingat emas.
Ketika AUG 2014, kontijen Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Indonesia dan Thailand, setelah mengutip 40 emas, 42 perak dan 49 gangsa.