Majlis Sukan Negara (MSN) sama sekali tidak akan  menggugurkan mana mana atlet-atlet negara tanpa alasan kukuh dan munasabah sekaligus menyangkal  dakwaan bekas atlet berbasikal para negara, Mohamad Syazwan Roshdi.

Ketua Pengarahnya, Datuk  Ahmad Shapawi menegaskan pihaknya menyediakan kemudahan latihan dan pertandingan kepada atlet yang sentiasa menunjukkan peningkatan prestasi dan mempunyai potensi untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

Menerusi kenyataan media hari ini Datuk Ahmad Shapawi berkata, pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1, C2, C3 (pelbagai kecacatan anggota) Sukan Para ASEAN (APG) ke-9 itu sendiri telah maklum tentang limitasi peningkatan prestasi beliau sebelum digugurkan daripada program untuk 2019.

Malah, tiada istilah layanan buruk diberikan kepada mana mana atlet yang datang ke MSN juga tidak tepat.

“Semasa perbincangan tentang karier beliau selepas tidak dilanjutkan kontraknya sebagai atlet, pihak MSN telah dimaklumkan bahawa beliau telah pun mempunyai pekerjaan sebagai jurujual di sebuah syarikat swasta dan pihak MSN tidak dimaklumkan langsung tentang masalah beliau terkandas dalam usaha mencari pekerjaan di Singapura.

“Mengenai dakwaan beliau bahawa dilayan seperti penjenayah apabila terpaksa diiringi pengawal keselamatan ketika memasuki premis MSN, ianya adalah merupakan prosedur biasa. Khususnya apabila atlet-atlet lain tidak berada di dalam bilik kerana menyertai pertandingan ketika beliau datang ke asrama untuk mengambil barang-barang beliau.

“Saya juga difahamkan bahawa beliau ingin mengambil barang yang ditinggalkan di dalam bilik yang lain dan bukannya bilik asal beliau sebelum ini. Sekiranya perlaksanaan prosedur keselamatan tersebut telah menyinggung perasaan beliau, saya bagi pihak MSN memohon maaf,” katanya.

Mohamad Syazwan berlatih dibawah program Paralimpik MSN sejak 2015 menerusi program pencarian bakat MSN  merupakan atlet berbasikal para kategori C3 (kecacatan fizikal).

Menurut kenyataan itu, pelumba tersebut juga telah diberikan peluang untuk mempertingkatkan lagi daya kayuhannya bagi menyaingi atlet yang lebih rendah kategori daripadanya, kerana jika pertandingan melibatkan ‘factored event’ (kombinasi C1, C2 dan C3) bagi acara trek, ianya akan memberi kekurangan kepada beliau untuk memberi saingan.

“Beliau telah diberi peluang untuk menyertai pertandingan di Kejohanan Dunia Trek UCI Los Angeles pada Mac 2017 bertujuan untuk klasifikasi kategori beliau selain menyertai APG 2017 dan Kejohanan ACC 2018 di Nilai.

“Jawatankuasa Pengelola Sukan Para Asean 2017 turut berjaya menganjurkan acara lebuh raya yang melibatkan kategori Syazwan dan ekoran daripada itu, beliau berjaya mendapatkan pingat emas buat negara,” katanya.

Syazwan terpaksa  digugurkan selepas mendapat kata putus daripada empat jurulatih berbasikal para, ketua jurulatih Johari Nayan, pembantu jurulatih Salehuddin Mohd Noh, Mohd Fitri Marzuki dan Iqbal Sokri di dalam Jawatankuasa Pemilihan Atlet Para bagi Program Latihan 2019 yang melibatkan MSN, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Jurulatih berpendapat, prestasi Syazwan tidak menunjukkan sebarang peningkatan pada 2018 memaksa keputusan itu dibuat.  

Mengenai dakwaan bahawa Mohamad Syazwan tidak diberikan kelengkapan yang secukupnya untuk bertanding, Ahmad Shapawi menjelaskan bahawa atlet-atlet para sememangnya tidak disediakan basikal secara persendirian untuk acara trek, menggunakan basikal yang sedia ada mengikut saiz masing-masing.

“Beliau ada dibekalkan dengan basikal untuk acara lebuh raya memandangkan beliau pada asalnya adalah pelumba acara lebuh raya. Beliau menggunakan basikal trek yang disediakan MSN pada kejohanan yang disertai dalam acara trek termasuk atlet-atlet lain,” katanya.

 

- Advertisement -