20151125-SerdangBC- Chen Zhuofu & Wang Chih Hao-01

20151125-SerdangBC-Nguyen Hoang Nam-04

Junior Purple League LogoJuara bertahan, Muar City BC tidak berdepan masalah besar untuk meneruskan penguasaan mereka dalam saingan Purple League yang kembali bersambung hari ini apabila beraksi garang untuk menewaskan Serdang BC 15-3 di Sport Arena@Sentosa.

Ianya kemenangan ketiga berturut-turut buat pasukan dari Johor itu yang sebelum ini menewaskan Kepong BC dan Petaling Jaya BC sekaligus membolehkan mereka merampas kedudukan pendahulu dari Nusajaya BC yang hanya akan turun beraksi pada Khamis.

Aksi pada Rabu, sekali lagi menyerlahkan kehebatan Muar City apabila cemerlang memenangi kesemua lima perlawanan – bermula dengan kemenangan Tan Chung Seang dalam acara perseorangan lelaki dan ditutup bergaya oleh pemain Indonesia, Tommy Sugiarto. 

Chung Seang, bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menampilkan aksi bertenaga untuk menundukkan Nguyen Hoang Nam 3-0. Chun Seang menang 11-5 dan 11-10 sebelum bangkit daripada ketinggalan 1-7 untuk menang 11-8 di set ketiga.

Pemain perseorangan wanita, Kim Mun Hee bangkit dari kekalahan set pertama untuk menundukkan Xu Wei tatkala beregu campuran kebangsaan yang kembali bergandingan sejak awal tahun ini, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang 3-1 (8-11, 11-6, 11-6, 11-7) sekaligus melebarkan dominasi Muar City.   

“Dalam sistem kiraan 11 mata, anda tidak boleh lakukan kesilapan kerana ianya sangat pantas. Memang sedikit tertekan pada awalnya kerana kita perlu cepat mengambil kesempatan, silap sedikit terus dihukum. Kami mengambil masa menyesuaikan diri  dan persefahaman antara kami juga membantu  untuk menang aksi ini,” jelas Liu Ying yang kembali semula ke arena badminton bermula Januari lalu selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut.

Mak Hee Chun/Tan Wee Kiong yang pernah bergandingan di Sukan Asia 2010 mengesahkan kemenangan buat Muar City selepas menang 3-1 (11-9, 11-7, 10-11, 11-6) ke atas Chen Zhuofu/Wang Chih Hao sebelum pemain ranking ke-12 dunia Tommy Sugiarto tampil dengan kelas tersendiri untuk menewaskan pemain pelapis kebangsaan Lim Chi Wing dan melengkapkan kemenangan buat Muar City.

Ketua jurulatih Serdang BC, Ong Ewe Hock, mengakui dia tidak meletakkan sebarang harapan besar ke atas pemainnya untuk mencipta kejutan pada perlawanan ini dan berharap pemainnya belajar sesuatu dalam kekalahan ini.

“Kita tahu kita menentang sebuah pasukan juara, yang mempunyai pemain-pemain hebat dan bertaraf antarabangsa. Kita perlu akui mereka jauh lebih bagus. Jadi, sebelum perlawanan lagi, saya pesan kepada pemain cuba lakukan yang terbaik dan jangan tekan diri sendiri untuk menang. Ini peluang terbaik untuk mereka menentang pemain-pemain yang bagus dan sudah tentunya saya harap mereka akan belajar dan bertambah baik selepas ini,” jelas bekas pemain kebangsaan itu.

- Advertisement -