omar-mosaad
Omar Mosaad

Oleh Muhammad Aiman

Pemain skuash perseorangan lelaki nombor satu negara, Nafiizwan Adnan melakar kejutan sensasi di Kejohanan Skuash Dunia di Kaherah, Mesir apabila menewaskan bintang tuan rumah yang berada di ranking ketiga dunia, Omar Mosaad untuk melangkah ke pusingan ketiga.

Turun tanpa sebarang harapan tinggi diletakkan, Nafiizwan tampil menjelmakan kebangkitan menakjubkan bagi mencatat kemenangan 3-2 (6-11, 11-8, 12-10, 1-11 dan 12-10) dalam pertarungan sengit pusingan kedua yang berlangsung selama satu jam 42 minit di Kelab Wadi Degla itu.

Menariknya, kemenangan menyaksikan pemain kelahiran Terengganu itu pertama kali berjaya melepasi halangan pusingan kedua, dalam masa sama berjaya membalas dendam kekalahan kepada pemain sama di pusingan kedua kejohanan ini yang berlangsung di Amerika Syarikat tahun lalu.

“Ketika saya ketinggalan, dia (Mosaad) banyak mengutip mata berpunca dari kesilapan saya sendiri. Jadi ia adalah persoalan mengenai disiplin permainan saya dan itulah yang berjaya saya perbaiki menerusi bantuan jurulatih Peter Genever dan juru analisa video, James Simpson,” ujar Nafiizwan.

“Apa yang bermain di fikiran saya adalah ini mungkin menjadi perlawanan terakhir saya jadi mahu berikan 100 peratus. Saya katakan pada diri saya supaya menikmati setiap saat bermain, tekanan dan segalanya dan tuah turut menyebelahi saya,” kata pemain di ranking ke-33 dunia itu.   

Menanti Nafiizwan di pusingan ketiga yang akan berlangsung awal pagi Isnin adalah seorang lagi pemain Mesir, Fares Dessouky – pemain ranking ke-15 dunia itu mara setelah menyingkirkan pemain Perancis, Gregoire Marche 3-1 (13-11, 11-5, 8-11, 11-9) dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

- Advertisement -