Pemain terbaik skuasy lelaki negara, Mohd Nafiizwan Adnan, secara automatik mara ke pusingan suku akhir Sukan Komanwel 2018 selepas lawannya, Ryan Cuskelly dari Australia, menarik diri daripada pusingan ketiga setelah mengalami kecederaan kaki ketika perlawanan semalam.

Menurut jurulatih Australia seperti yang dipetik dalam laman sesawang rasmi www.gc2018.com, Cuskelly, pemain pilihan keenam itu terpaksa menarik diri ekoran kecederaan pada otot kakinya selepas menewaskan Othniel Bailey dari St Vincent and the Grenadines, 3-0.

Pasukan penasihat perubatan menyarankan Cuskelly menarik diri daripada acara perseorangan untuk memberinya peluang mempersiapkan diri bagi acara beregu.

Cuskelly akan berpasangan dengan Cameron Pilley dalam acara beregu lelaki, yang mana mereka adalah pemain pilihan pertama, seterusnya berganding dengan Rachel Grinham bagi acara beregu campuran.

Sementara itu, pengurus pasukan Malaysia Peter Chee Nyuk Min, mengesahkan Mohd Nafiizwan akan tampil dalam perlawanan suku akhir dan berhadapan saingan kuat yang juga pemain pilihan utama, Nick Matthew dari England, esok.

“Saingannya (Cuskelly) telah menarik diri, jadi secara automatik Wan (Nafiizwan) mara ke pusingan seterusnya dan dijangka bertemu Nick Matthew,” katanya ketika dihubungi Bernama. – BERNAMA

- Advertisement -