Oleh Muhammad Aiman

Negeri Sembilan mengukuhkan cengkaman dengan membuka jurang tiga mata di tangga teratas 100 Plus Liga Premier setelah menundukkan Terengganu 3-2 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, pada Jumaat.

Skuad bimbingan Asri Ninggal tampil dominan di gelanggang sendiri, mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Bruno Suzuki pada minit ke-23 dan kemudiannya Marko Simic empat minit kemudian.

Terengganu mengecilkan defisit jaringan pada minit ke-51 menerusi Abdul Latiff Suhaimi namun Izuan Salahudin kembali memberikan kelebihan dua gol buat skuad hoben jang hoben pada minit ke-74.

Jaringan Issey Nakajima Farran pada minit ke-80 sudah terlewat untuk skuad bimbingan Irfan Bakti menjelmakan kebangkitan sekaligus menyaksikan mereka tewas buat pertama kali.

Kemenangan keempat buat Negeri Sembilan menyaksikan mereka berada di puncak dengan mengumpul 12 mata, tatkala Terengganu dengan sembilan mata tergelincir ke tangga ketiga, dipintas Johor Darul Takzim (JDT) II menerusi beza jaringan.

JDT II bimbingan Hamzani Omar dipaksa bekerja keras sebelum merakam kemenangan 1-0 ke atas Sabah menerusi jaringan pemain muda Hadi Fayadh pada minit ke-50 di Stadium Pasir Gudang.

Di Kangar, Perlis terus dirundung malang apabila mengalami kekalahan ketiga musim ini setelah kecundang 1-2 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sekaligus kekal sebagai satu-satunya pasukan belum mencatat kemenangan.

Dua jaringan Vincent Weijl pada minit ke-20 dan 80 memastikan anak buah Abu Bakar Fadzim yang mengejutkan Kelantan dalam saingan Piala FA pertengahan minggu baru-baru ini meneruskan rentak kemenangan mereka dan melonjak ke tangga kelima liga.

Perlawanan lain menyaksikan MISC-MIFA  yang mengejutkan JDT II minggu lalu untuk merekodkan kemenangan pertama, kecundang 2-3 kepada Kuantan FA – ia adalah kekalahan keempat mereka dalam lima perlawanan, sekaligus kekal di tangga kesepuluh dengan tiga mata.

UITM FC pula melakar kemenangan pertama dengan menewaskan ATM 3-1, terima kasih kepada dua jaringan pemain Korea, Do Dong Hyun dan satu jaringan Akkani Sunday Wasiu.

- Advertisement -