NS KL

Oleh Muhammad Aiman

Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan berentap dalam aksi penentuan tempat kelima Divisyen Satu Piala Tun Razak yang akan berlangsung pada Sabtu.

Pada perlawanan klasifikasi tempat ke-5/8 yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Khamis malam, Negeri Sembilan menundukkan Pahang 2-0 menerusi penentuan penalti setelah kedudukan 60 minit masa sebenar permainan berkesudahan 3-3.

Pahang terlebih dahulu mendahului 2-0 hasil jaringan Ismail Abu dan Md Kamil Md Yusoff seawall 15 minit pertama permainan, namun Negeri Sembilan bangkit menjaringkan tiga gol pantas menerusi Dangerous Lee pada minit ke-17 dan 20 serta G.Kavinkarthik pada minit ke-28 untuk mendahului 3-2 di separuh masa pertama.

Pahang menyamakan kedudukan menerusi Idris Samad pada minit ke-38 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti, dan Negeri Sembilan muncul pemenang setelah Ashraf Zulzaili dan Marhan Abd Jalil menyempurnakan pukulan masing-masing. 

Dalam satu lagi aksi, jaringan seminit sebelum tamat permainan oleh Syafiq Sumantri memastikan Kuala Lumpur menewaskan Johor 2-1.

Johor sebelum itu mendahului perlawanan seawal minit ketujuh menerusi Mohd Nor Aqmal namun Kuala Lumpur yang dikecewakan tiket ke separuh akhir oleh Terengganu, menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi Khairul Amirin.

Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah bertemu dalam perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini dengan perlawanan dimenangan Kuala Lumpur 3-1.

Sementara itu, Selangor dan Sabah pula akan berentap dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima Divisyen Dua yang akan berlangsung pada Jumaat setelah menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan klasifikasi ke-5/8.  

Selangor yang berputih mata untuk mengulangi pencapaian muncul naib juara tahun lalu, garang membelasah Sarawak 11-0 menerusi jaringan Norikhwan Nor Rahman (m-2), Hafif Elkan (m-15, 53), Rafizul Ezry (m-16), Amerullah Abd Aziz (m-20, 21, 44), Ikmal Abdul Jabar (m-40, 56) dan Nazirul Mubin (m-45, 48).

Manakala Sabah pula membelasah Kedah 8-3 hasil dua jaringan Maxhans Christie dan satu masing-masing oleh Shello Severios, Zakri Esar, Faiz Aiman, Dodi Musa, Muhajir Abdul Rauf dan Fakhrullah Izuddin.

- Advertisement -