brazil.colombia.rio

Oleh Muhammad Aiman

Bintang bolasepak Brazil, Neymar memilih waktu yang sesuai untuk memecahkan kebuntuan jaringannya apabila meledak satu daripada dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas seteru Amerika Selatan, Colombia dan membawa Brazil ke separuh akhir Sukan Olimpik Rio De Janeiro.

Neymar berdepan kritikan hebat penyokong tuan rumah, kerana beraksi hambar dan gagal memenuhi ekspetasi peminat yang mengharapkan sesuatu luar biasa dari salah seorang pemain dilabel terbaik dunia itu sepanjang tiga perlawanan awal peringkat kumpulan.

Brazil yang merupakan finalis empat tahun lalu di London, sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Iraq dan Afrika Selatan, sebelum mara ke suku akhir hasil kemenangan 4-0 ke atas Denmark dengan penyerang muda Santos, Gabriel ‘Gabigol’ Barbosa lebih mencuri tumpuan.

Namun bintang Barcelona itu yang diberi penghormatan sebagai kapten di temasya olimpik terakhirnya ini, menyerlahkan reputasi dengan jaringan sepakan percuma cantik pada minit ke-12 sebelum Luan melengkapkan kemenangan di separuh masa kedua untuk membawa Brazil ke separuh akhir olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

Namun, Neymar juga turut bernasib baik untuk terus kekal di atas padang sehingga tamat permainan setelah kekasaran ke atas Andres Roa tidak dihukum pengadil, namun sudah cukup untuk mencetuskan ketegangan.

Lawan skuad samba itu di separuh akhir nanti adalah Honduras yang menundukkan wakil Asia, Korea Selatan 1-0 menerusi jaringan tunggal Alberth Elis manakala dalam satu lagi perlawanan separuh akhir Jerman akan berdepan Nigeria.

Jerman menundukkan Portugal 4-0, menerusi jaringan Sergei Gnabry, Mathias Ginter, Davie Selke, dan Philip Max manakala Nigeria pula menyingkirkan Denmark.

Andai Brazil dan Jerman mampu menepati status selaku pasukan pilihan dan layak ke final, ia pastinya perlawanan akhir yang paling menarik untuk disaksikan apatah lagi di bumi Brazil ini jugalah skuad senior Jerman mengaibkan Brazil 7-1 dalam laluan bergelar juara dunia dua tahun lalu.  

- Advertisement -