Sarawak United FC dan Terengganu FC terus unggul berada di tangga teratas peringkat kumpulan selepas masing-masing menang dalam perlawanan kedua saingan TM Piala Malaysia 2021, semalam.

Dalam aksi Kumpulan A menyaksikan skuad kendalian E. Elavarasan itu berjaya meraih tiga mata selepas menang 1-0 ke atas Sri Pahang FC di Stadium UiTM sekali gus meletakkan mereka di kedudukan selesa memandangkan aksi Kuala Lumpur City FC dan Penang FC pula berakhir seri 1-1.

Menurut Elavarasan, tiga mata yang cukup berharga ini sangat membantu pasukan untuk mengukuhkan kedudukan bagi merebut slot ke suku akhir, tetapi mengakui dua perlawanan yang telah ditempuh bukanlah semudah yang disangka.

Selepas ketinggalan 1-0, anak buah Dollah Salleh tidak berputus asa untuk memburu gol penyamaan tetapi bekas pengendali Melaka United ini memuji barisan pertahanan yang berjaya menutup segala ruang asakan lawan.

“Kami pun tidak sangka dapat menang dalam aksi itu sebab tahu Pahang memang satu pasukan yang baik.

“Secara keseluruhan saya tengok kita mungkin sebenarnya ada peluang yang lebih banyak untuk menjaringkan gol dan apabila kita berjaya, nampak Pahang dah mula bagi tekanan kepada kita.

“Tetapi Taylor Regan berjaya mengatur dengan baik di bahagian pertahanan dan sebab itu tidak banyak ruang yang lawan dapat untuk jaringkan gol”, jelasnya.

Sementara itu bagi aksi Kumpulan B pula, Terengganu FC meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 2-1.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain nyata berbangga dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya sambil menyifatkan mereka mengikuti segala perancangan yang diatur dengan cukup sempurna.

Salah satunya adalah menurunkan pemain seperti Lee Tuck, Dechi Marcel dan Habib Haroon sebagai enjin di bahagian tengah menyaksikan mereka berjaya untuk menggerakkan pasukan dengan lebih seimbang.

“Syukur untuk rezeki kemenangan ini tetapi saya nak ucap tahniah juga buat Selangor, perlawanan yang memang sengit boleh saya katakan.

“Memang pemain-pemain berjaya mengikuti pelan yang saya buat dengan baik dan bertemu Selangor FC kita tahu memang bukan mudah.

“Bagi saya, setiap lawan adalah berbeza, dan saya akan analisis terlebih dahulu mengenai mereka, jadi saya rasa untuk berdepan Selangor saya memerlukan kekuatan bahagian tengah sebagai enjin menggerakkan pasukan.

“Sebab itu, saya gunakan Lee Tuck, Marcel dan Habib untuk seimbangkan pemain baik di bahagian pertahanan juga, dan bagi saya percaturan kali ini memang menjadi”, katanya.

Satu lagi perlawanan dalam Kumpulan B menyaksikan Kuching City FC dan Perak FC masing-masing pulang dengan satu mata selepas seri 2-2.

 

- Advertisement -