Hanya seminggu selepas tampil dengan permainan meyakinkan untuk melangkah sehingga ke perlawanan akhir Terbuka Netsuite di San Francisco, kebangkitan ratu skuash negara Dato’ Nicol David tidak bertahan lama apabila tewas di pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat.
Dalam aksi berlangsung di Universiti Drexel, Philadelphia pada Selasa, pemain berusia 34 tahun itu bangkit dari ketinggalan 0-2 kepada pemain Hong Kong, Annie Au untuk mengheret perlawanan ke set penentuan namun terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 (5-11, 5-11, 12-10, 11-8, 7-11).
Ini adalah kekalahan pertama Nicol dalam 25 pertemuan dengan Annie dan kekalahan kedua berturut-turut bekas pemain nombor satu dunia itu kepada wakil dari Asia dalam tempoh kurang tiga bulan setelah kecundang kepada seorang lagi pemain Hong Kong, Joey Chan di Sukan Dunia pada Julai lalu.
Annie yang teruja dengan kemenangan ini berkata, “Untuk menewaskan Nicol adalah satu keputusan yang cukup besar dan ia menjadikan segala kerja keras sepanjang musim panas lalu sangat berbaloi.
“Ketika mendahului 2-0 saya sudahpun fikirkan kemenangan dan melakukan beberapa kesilapan yang memberikannya keyakinan. Nicol boleh bangkit dari apa jua keputusan, jadi saya sedar saya perlu kembali kepada game plan saya yang asal dan bermain dengan tenang.
“Saya berjaya melakukannya dan cukup gembira dengan pencapaian ini. Saya sebenarnya sudahpun menempah penerbangan pulang esok tapi kini saya perlu merubahnya. Saya mempunyai sehari untuk berehat sebelum mempersiapkan diri untuk suku akhir dan saya mahu manfaatkannya.”
Juara Asia berusia 28 tahun itu dipetik berkata demikian dalam laman rasmi kejohanan.
Selepas ini, Annie akan berdepan pemain nombor empat dunia Laura Massaro untuk memburu slot beraksi di separuh akhir. OLEH MUHAMMAD AIMAN