Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah nampaknya belum bersedia untuk menggantung but.

Pengalaman pemain berusia 38 tahun itu nampaknya masih ditagih dan ianya Negeri Sembilan yang berjaya menyambar khidmatnya, membawa kepada kemungkinan pemain itu akan menoktahkan karier di tempat mana dia bermula.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan juga merupakan pasukan pertama diwakili Norhafiz Zamani selaku pemain professional kira-kira 17 tahun lalu pada 2001, yang mana ketika itulah dia menyerlah mencipta nama dan mengukuhkan reputasi sebagai salah seorang pertahanan terbaik dalam negara.

Dia pernah membantu skuad kendalian K.Devan ketika itu menjulang Piala FA pada 2003.  
Selepas bermain dengan dua pasukan berbelanja besar iaitu Pahang dan KL Plus dari 2005 – 2010, Norhafiz

Zamani kembali ke pangkuan Negeri Sembilan pada 2011 dan menjulang Piala Malaysia pada tahun tersebut.
Selepas tiga musim dia berhijrah pula ke Kelantan dan kemudiannya Pulau Pinang pada musim lalu, yang mana menjadi ‘mimpi ngeri’ dalam kariernya gara-gara tidak dibayar gaji.

Kembalinya dia ke pangkuan skuad Jang buat kali ketiga bakal menjadikannya pemain paling senior dalam pasukan – Negeri Sembilan diketahui telah membuat rombakan besar dalam skuad dengan Mat Zan Mat Aris mempertaruhkan hampir sebahagian pemain muda untuk melontarkan cabaran dalam saingan Liga Premier 2019.

Dalam pada itu pengurus pasukan Negeri Sembilan, Mohd Khairolah Abdul Latif berkata pasukan itu sudahpun memuktamadkan senarai penuh pemain yang akan menyarung jersi pasukan itu bagi musim baru.

“Dua pemain import yang sudah dipilih jurulatih adalah pertahanan Matheus Fernandes Vilareal (Brazil) dan pemain tengah Shunsuke Nakatake (Jepun). Dua lagi import akan ditentukan kemudian, ada beberapa pemain masih sedang diuji dan dibuat penilaian.

“Selebihnya adalah pemain tempatan seramai 21 pemain, dengan 10 daripadanya adalah anak jati Negeri Sembilan. Tidak ramai nama besar memandangkan fokus pengurusan adalah yang pertamanya mengetengahkan bakat-bakat baru dari kalangan anak negeri, dan yang kedua tidak terlalu boros dalam berbelanja membawa masuk nama besar,” ujarnya.

Antara pemain tempatan yang akan menyarung jersi skuad rusa adalah Kaharuddin Abdul Rahman, Hamka Daud, Fadzley Abdul Rahim, Ferris Danial Mat Nasir, L.Kalaiharasan, Ridzuan Abdunloh Pula, Izuan Salahudin dan Danish Haziq Saipul Hashim. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -