100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Kuala Lumpur mengekalkan kelebihan dua mata di tangga teratas 100PLUS Liga Premier setelah mencatat kemenangan kelima musim ini dengan menundukkan KL DRB Hicom 2-1 di Stadium Selayang, dalam aksi yang berlangsung pada Jumaat.  

Penalti jaringan Leo Carrioca pada minit ke-16 dan Casagrande pada minit ke-36 membantu skuad bimbingan Ismail Zakaria untuk mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tujuh perlawanan dan mengungguli carta liga dengan 17 mata.

Negeri Sembilan pula terus menghimpit kedudukan skuad helang kota apabila mengetepikan kebangkitan lewat yang cuba diterjemahkan PKNS Selangor untuk mencatat kemenangan 4-3 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi. 

Skuad Hoben Jang Hoben mendahului 3-0 selepas 60 minit perlawanan berlangsung menerusi jaringan Tylor Reagan, Sabri Sahar dan Joel Chianese namun membenarkan PKNS bangkit merapatkan kedudukan 2-3 hasil dua gol pantas S.Thinagaran dan Gabriel Guerra.

Begitupun jaringan Andrew Nabbout pada minit ke-76 mengesahkan tiga mata berharga buat Negeri Sembilan dan meskipun skuad E.Elavarasan sekali lagi merapatkan jurang menerusi jaringan Guerra, ia gagal menyelamatkan PKNS dari mengalami kekalahan pertama selepas sembilan perlawanan.

Di Stadium Hang Jebat, jaringan lewat permainan Nurshamil Abdul Ghani membantu juara Piala FAM, Melaka United mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Kuantan FA dan  melonjak ke tangga ketiga Liga Premier, terikat 15 mata dengan Negeri Sembilan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan dengan Melaka mendahului seawal minit kelapan menerusi Ilisa Spasojevic manakala Kuantan menyamakan kedudukan menerusi Dao Bakary.

Spasojevic kembali memberi pendahuluan kepada Melaka menerusi jaringan pada minit ke-56 dan pada ketika Kuantan dilihat berjaya mencuri satu mata menerusi jaringan Abdul Malik Ariff pada minit ke-81, Nurshamil memastikan Melaka mengutip tiga mata menerusi ledakan pada minit ke-89.    

Di Pasir Gudang, Johor Darul Takzim II terus memperbaiki kedudukan apabila melonjak ke tangga keempat Liga Premier setelah menundukkan Perlis 2-0, terima kasih kepada dua jaringan ayam tambatan Paolo Rangel pada minit keempat dan 54.

Sabah turut melonjak satu anak tangga ke tangga kesepuluh setelah mencatat kemenangan kedua musim ini dengan menewaskan Sime Darby 1-0 di Stadium Likas.

Jaringan tunggal pemain import dari Indonesia, Dedi Kusnandar sudah memadai untuk membantu Sabah keluar dari zon relegasi, tatkala Sime Darby tercicir ke tangga kesebelas.   

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia mengutip mata pertama mereka musim ini setelah dua kali bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Uitm FC 2-2 di Stadium Mini Uitm, Shah Alam.

Gol jaringan Syafez Muhamad pada minit ke-13 dan Zaironi Yusof seminit sebelum tamat perlawanan memadam kelebihan Uitm yang sebelum itu dua kali mendahului perlawanan menerusi jaringan penyerang import, Pavel Purishkin sekaligus menyaksikan kemarau kemenangan Uitm kini melebar kepada enam perlawanan. 

- Advertisement -