AUG2016Oleh Muhammad Aiman

Kontijen negara mengakhiri cabaran di trek dan padang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2016 dengan menambah dua pingat emas, dua pingat perak dan sebutir gangsa pada Ahad.

Atlet lontar peluru, Adi Alifuddin Husin menepati sasaran peribadi yang diletakkan untuk meraih emas kelimanya di temasya AUG meskipun lontaran sejauh 16.33m terlalu jauh dari menghampiri rekod kebangsaan miliknya 17.54m.

Untuk rekod atlet kelahiran Terengganu itu sebelum ini memenangi emas di Kuala Lumpur 2008, Chiang Mai 2010, Vientiane 2012 dan Palembang 2014.

Pingat perak acara tersebut menjadi milik atlet dari Thailand, Thawat Kachin manakala seorang lagi atlet negara, Mohamad Hal Mohamad Afendi meraih gangsa dengan lontaran sejauh 14.07m.

Sebutir lagi pingat emas buat kontijen negara disumbangkan jaguh lompat jauh, Noor Shahidatun Nadia yang melakukan lompatan sejauh 5.95m, mengatasi atlet Vietnam Tran Hue Hoa (5.70m) yang meraih perak dan pemenang gangsa Chamtavong Manivanh (5.17m) dari Laos.

Sementara itu, pingat perak buat kontijen negara pula hadir menerusi atlet lempar cakera wanita, Choo Kang Ni dan atlet lompat bergalah kebangsaan, Iskandar Alwi.

Kang Ni melakukan lemparan sejauh 44.24m, tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Sea dari Thailand, Subenrat Insaeng yang melakukan 56.37m manakala atlet Laos Phonexai Paosavad menang gangsa dengan catatan 35.82m.

Iskandar yang mempunyai catatan terbaik peribadi 5.20m pula sekadar melakukan 5.05m untuk berpuas hati dengan perak, berkesudahan di belakang pemenang pingat emas dari Thailand Porranot Purahong manakala gangsa menjadi milik Eko Wicaksono dari Indonesia.

Hari ini adalah hari terakhir AUG 2016 yang berlangsung di Singapura dengan Malaysia yang meletakkan sasaran membawa pulang 30 pingat emas berada di tangga ketiga senarai pungutan pingat setelah mengutip 25 emas, 32 perak dan 31 gangsa.

- Advertisement -