Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil langkah membawa masuk pemain import baharu dari Lebanon iaitu Hussein El Dor bagi memperkukuhkan skuad The Bos Gaurus.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemain posisi pertahanan berusia 25 tahun itu telah menandatangani kontrak sehingga akhir musim ini bagi menggantikan pemain import dari Australia, Zac Anderson yang terpaksa digugurkan akibat mengalami kecederaan lutut.

“Perkara (mengambil pemain import baharu) ini dibuat kerana kita mendapati Zac Anderson telah mengalami kecederaan yang mana mengambil masa untuk sembuh sepenuhnya.

“Jadi, bagi memastikan pasukan Perak dapat bersaing dalam Liga Super 2019 dan pertandingan yang lain, maka kita mengambil keputusan untuk menandatangani kontrak seorang pemain baharu,” kata Faizal kepada BERNAMA 

Sebelum ini, PAFA mengikat dua pemain import baharu dari Brazil iaitu Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais selepas jendela perpindahan kedua Liga Bola Sepak Malaysia bagi musim 2019 dibuka pada 2 Mei lepas.

Ahmad Faizal, yang juga Menteri Besar Perak, berkata kedua-dua pemain setuju mengikat kontrak selama enam bulan dan berharap mereka dapat membantu skuad The Bos Gaurus memperbaiki kedudukan pasukan dalam kempen Liga Super 2019.

Ronaldo, 28, yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Esporte Club di Brazil bakal menggantikan bekas penyerang, Gilmar Jose Da Silva yang terpaksa digugurkan akibat masalah prestasi.

Sementara itu, Raianderson, 23, bekas tonggak Atletico Acreano yang beraksi dalam Liga Brazil pula akan mengisi kekosongan ditinggalkan Wander Luiz Junior akibat masalah peribadi.

Sementara itu, pengurus The Bos Gaurus, Datuk Adly Shah Ahmad Tah percaya kemasukan El Dor bakal memberi impak positif kepada pasukan khususnya dalam mengukuhkan barisan pertahanan.

Beliau berkata, pemain itu juga dijangka akan diturunkan pada perlawanan menentang Pahang esok (19 Mei) di Stadium Darul Makmur dalam aksi saingan Liga Super.

“Cabaran pada pertengahan musim pasti lebih hebat dengan semua pasukan membuat beberapa penambahbaikan bagi memperkuat dan mengukuh pasukan.

“Presiden, ketua jurulatih serta saya sendiri yakin dan percaya kemasukan El Dor akan memantapkan pasukan terutamanya di barisan pertahanan selain membantu bahagian serangan yang kini mula menunjukkan taring.

“Kita yakin dengan kemampuan kewangan kita yang terhad, kita telah mencuba mendapatkan pemain yang boleh meningkatkan prestasi pasukan dan seterusnya menzahirkan keputusan yang lebih positif,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Sebelum menyertai Perak, El Dor yang mempunyai ketinggian 190 sentimeter pernah beraksi bersama kelab Maldives, New Radiant bagi musim 2017 dan kelab India, Churchill Brothers pada tahun lepas.

Adly turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Faizal kerana sentiasa memberi sokongan padu dan untuk mempertingkatkan prestasi skuad Perak.

Mengulas mengenai sasaran pasukan bagi kempen Liga Super, katanya, skuad The Bos Gaurus akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatatkan keputusan yang membanggakan.

“Sasaran pasukan Perak pada musim ini juga harus berpaksikan realiti dan setakat ini kita hanya tewas tipis dua kali dalam liga dengan dua pasukan teratas liga,” katanya.

Dalam saingan musim lepas, Perak menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, di belakang Johor Darul Ta’zim

— BERNAMA

- Advertisement -