Pahang dan Melaka muncul dua pasukan terakhir mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia setelah tamat aksi terakhir peringkat kumpulan, pada Sabtu.

Di Stadium Darulmakmur, jaringan pada minit ke-85 oleh Yamil Romero membantu Pahang mengatasi T-Team dengan keputusan 3-2 sekaligus mara selaku naib juara Kumpulan A mengiringi PKNP FC.

Pahang mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Matheus Alves sebelum T-Team mengikat kedudukan 1-1 menerusi Syed Sobri pada minit ke-52.

Norazam Azih kemudiannya menjadikan kedudukan 2-1 buat Pahang dua minit kemudian namun giliran Abdoulaye Yousuff pula mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-56. Romero memastikan tiga mata buat Pahang setelah sepakan percumanya gagal diselamatkan Izzudin Hussin.

Satu lagi aksi Kumpulan A antara Negeri Sembilan dan PKNP FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. PKNP muncul juara kumpulan dengan 11 mata diikuti Pahang dengan sembilan mata.

Melaka pula mara selaku naib juara Kumpulan C meskipun tewas 3-5 kepada Uitm FC. Kemaraan mereka turut dibantu kekalahan 0-2 Kelantan kepada Kedah.

Aksi di Stadium Uitm Shah Alam menyaksikan Uitm tampil garang di sebalik sudahpun tersingkir dari pemburuan tiket ke suku akhir. Ayam tambatan, Akanni Sunday Wasiu menjaringkan hatrik pada minit ke-13, 38 dan 90 manakala dua lagi gol dijaringkan Do Dong Hyun pada minit ke-30 dan 73.

Tiga gol buat Melaka dijaringkan oleh Jeon Woo Young (m-33), Azinee Taib (m-56) dan Fauzi Roslan (m-87). Mereka kekal di tangga kedua dengan sembilan mata.  

Aksi di Stadium Darul Aman pula menyaksikan jaringan Sandro Da Silva (m-24) dan Ken Ilso Larsen (m-77) membantu Kedah mencatat kemenangan kelima dan muncul juara kumpulan dengan 15 mata.    

Dalam aksi Kumpulan B, Perak menewaskan Felda United 2-1 di Ipoh untuk muncul juara kumpulan dengan 16 mata. Gol buat skuad bimbingan Mehmet Durakovic dijaringkan Nizad Ayub dan Shahrul Saad manakala gol tunggal Felda dijaringkan Muhammad Danial.

Satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat menyaksikan Kuala Lumpur akhirnya mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan PKNS FC 2-0 menerusi dua jaringan Guilherme De Paula.

Manakala Johor Darul Takzim pula menjuarai Kumpulan D setelah membenam Selangor 3-1 di Larkin menerusi dua jaringan Mohamed Ghaddar (m-16, 75) dan satu sumbangan Gary Steven Robbat (m-30). Gol tunggal Selangor dijaringkan Rufino Segovia pada minit ke-28.

Terengganu dan Sarawak pula berpuas hati dengan satu mata setelah mencatat keputusan seri 3-3 di Gong Badak. Gol buat Terengganu dijaringkan Issey Nakajima (m-26) dan Tchetche Herman (m-9, 43) manakala Sarawak membalas menerusi Mateo Roskam, Abdul Rahim dan Milos Raickovic.

Di peringkat suku akhir nanti, Felda akan menentang PKNP, Pahang menentang Perak, Selangor menentang Kedah dan Melaka bertemu JDT. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -