Pahang mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA 2018 setelah menyingkirkan PKNP FC di peringkat separuh akhir pada Ahad menerusi agregat 3-2.

Turun beraksi di Stadium Ipoh bagi aksi separuh akhir kedua, PKNP FC hanya memerlukan keputusan seri tanpa jaringan untuk mara memandangkan mereka mempunyai kelebihan gol di tempat lawan hasil keputusan seri 1-1 yang dilakar di Kuantan minggu lalu.

Namun Pahang menggagalkan ‘niat’ skuad Abu Bakar Fadzim itu apabila mencatat kemenangan 2-1.

Skuad Dollah Salleh memecah kebuntuan  jaringan pada minit ke-32 menerusi sentuhan pemain import, Austin Amutu dan kemudiannya menggandakan kelebihan menerusi bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-76.

Ketinggalan dua gol, PKNP tidak lagi boleh mencari keputusan seri kerana kelebihan jaringan tempat lawan sudah memihak kepada pasukan tok gajah dan mereka memerlukan tiga gol untuk menterbalikkan keputusan.

Nyata ianya misi sukar buat mereka dan mereka sekadar berjaya mengurangkan defisit pada minit ke-84 menerusi penalti Franklin Anzite. Kekalahan menyaksikan PKNP gagal untuk mengikut jejak PKNS FC (2016) dan Sime Darby (2012) sebagai pasukan kelab yang pernah merasai nikmat final.  

Manakala bagi Pahang, ini adalah kali kelima mereka melangkah ke final selepas 1995, 2006, 2014 dan 2017. Mereka akan menentang Selangor dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Julai sekaligus berpeluang menebus kecewa tewas kepada Kedah di final tahun lalu.

Untuk rekod, Pahang pernah menjulang Piala FA sebanyak dua kali pada 2006 dan 2014. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -