jong-yee-khie
Jong Yee Khie

Oleh Ku Mohd Lufti

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong diumum sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Sukan Negeri Sarawakbersempena sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Kuching.

Penerjun berusia 23 tahun itu dipilih susulan pencapaiannya, meraih pingat perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama bersama sama Cheong Jun Hoong di Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu.

Pandelela berharap ia akan menjadi perangsang kepada semua belia di negeri itu untuk melakukan sesuatu perkara dengan sebaik mungkin.

“Saya berharap kemenangan ini akan menjadi motivasi kepada belia di negeri ini untuk mencapai tahap tertinggi dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya yang berasal dari Kampung Jugan, Bau.

Turut sama menerima anugerah di majlis yang sama, atlet Paralimpik negara yang turut beraksi di Rio de Janeiro, Jong Yee Khie, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Istimewa.

Yee Khie, meraih pingat gangsa dalam acara angkat berat negara di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Februari lalu.

Persatuan Tenpin Boling Sarawak pula memenangi anugerah Persatuan Belia Sukan ekoran kejayaannya menghasilkan atlet-atlet berpotensi hingga mencapai enam pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 Julai lalu.

Kesemua penerima augerah individu menerima habuan tunai RM2,000 manakala penerima anugerah persatuan membawa pulang RM3,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

- Advertisement -