khuzaimi-piee

Oleh Ku Mohd Lufti

Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk membawa Khuzaimi Piee yang disahkan mengalami kecederaan hamstring ketika aksi persahabatan menentang skuad bawah 22 tahun semalam.

Khuzaimi yang beraksi di posisi pertahanan kiri terpaksa dikeluarkan di pertengahan babak pertama perlawanan.

Keadaan seakan akan menekan Datuk Ong Kim Swee yang perlu mencari formula sokongan bagi mengisi kekosongan tersebut.

“Sudah tentu situasi ini menambah kesukaran saya kerana kini tinggal Nazirul Naim sahaja sebagai pemain pertahanan kiri. 

“Mungkin Ronny Harun, Matthew Davies atau kemungkinan juga Rizal Ghazali akan dialih ke posisi itu. Tetapi semuanya bergantung kepada keadaan,” kata Kim Swee.

Malah, pengendali kelahiran Melaka itu melihat, persiapan sebelum mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ yang terakhir menentang Papua New Guinea sebelum ke Myanmar untuk mengharungi Piala AFF tampak masih belum mencukupi.

Bolos tiga gol dalam perlawanan latihan dengan skuad bawah 22 tahun tampak meresahkan Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkan, pemain pemainnya leka.

“Daripada perlawanan ini, ia telah memberikan saya sedikit gambaran apa yang perlu kita lakukan lagi sebelum aksi persahabatan terakhir bertemu Papua New Guinea, Isnin ini.

“Cara kita bermain juga masih belum lagi memuaskan. Kita tahu, kebiasaan apabila pasukan Bawah 22 atau Bawah 23 berdepan pasukan senior, mereka akan beri tentangan cukup sengit dan ini bagus kerana kita memerlukan intensiti seperti ini apabila beraksi di peringkat yang lebih tinggi.” katanya lagi.

- Advertisement -