Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo mengingatkan pemain pemain yang dipilih untuk menjalani kem latihan pusat menunjukkan kemampuan mereka beraksi di posisi masing masing jika serius mahu menyarung jersi skuad kebangsaan.

Beliau menegaskan itu antara kriteria yang beliau tetapkan kepada mana mana pemain yang dipanggil ketika ini untuk kem latihan pusat skuad bawah 22 menjelang Sukan SEA tahun depan.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu berdepan ‘tugas berat’ dalam misi mempertahankan pingat emas acara bolasepak terutama ketika temasya sukan dwitahunan itu berlangsung di laman sendiri.

Tambahnya lagi, meskipun dipilih untuk menyertai mana mana kejohanan, beliau menegaskan matlamat utama pemain pemain muda ini adalah memburu slot sebagai pemain utama di skuad senior.

 

28 pemain dipanggil menjalani latihan pendek selama tiga hari termasuk perlawanan persahabatan tertutup untuk memberi ruang kepada barisan kejurulatihan untuk menilai pemain pemain tersebut.

Kesemua pemain yang dipanggil hanya berpeluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama beberapa kali sahaja bersama kelab masing masing.

Jelas Park Hang Seo, ia tidak berada di dalam perancangannya namun beliau berterima kasih kepada pengurusan kelab yang membenarkan pemain pemain ini menyertai latihan ini.

Pengendali berusia 62 tahun itu mahu memberi pendedahan kepada mereka tentang cara sistem latihan dalam skuad B22 selain mencari baka bakat baru yang lahir pada tahun 1999.

Kem latihan jangka pendek ini akan dijalankan sekali lagi pada pertengahan Ogos dan beberapa lagi siri latihan akan diteruskan sehingga penghujung tahun sebelum penumpuan sepenuhnya dengan tempoh latihan yang lebih lama dijalankan pada tahun depan.

Beliau juga berharap pemain pemain muda ini diberi peluang oleh kelab untuk beraksi dengan lebih kerap untuk meningkatkan lagi kemahiran individu.

Malah, beliau juga berharap pendemik Covid 19 yang sedang melanda seluruhy dunia ketika ini akan reda sepenuhnya pada tahun depan agar beliau dapat melakukan latihan di luar negara sebelum turun mempertahankan ibu segala pingat emas di Sukan SE tahun depan.

Ketika Sukan SEA 2019 di Filipina, Vietnam muncul juara kumpulan B dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua lima perlawanan.

Mereka mengesahkan status sebagai pemenang pingat emas selepas menundukkan Indonesia 3-0 dipentas Final.

 

- Advertisement -