Tan Kian Meng & Lai Pei Jing (kiri)

Pusingan kedua kejohanan Badminton Terbuka Australia menyaksikan tiga daripada lima wakil negara tersingkir selepas tewas kepada lawan masing masing hari ini.

Paling awal tersingkir pasangan bergu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas kepada gandingan Jepun Yugo Kobayashi-Misaki Matsumoto.

Tewas 21-16 di set pertama, Kian Meng dan Pei Jing yang mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Rio dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir cuba memberi tentangan di set kedua untuk mengheret permainan ke rubber game.

Peluang terhidang selepas bangkit ketinggalan dipertengahan babak untuk mengikat kedudukan 20 sama.

Namun penguasaan gelanggang Kobayashi dan Matsumoto lebih baik berbanding Kian Meng dan Pei Jing yang terpaksa akur tewas 21-23 selepas bertarung selama 43 minit.

Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus pasangan bergu lelaki muda negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mudah mengatasi cabaran pasangan dari Indonesia, Saputra Alvindo-Ferdinand Sinarta Surbakti.

Hanya 16 minit diperlukan bergu negara ini untuk melakar kemenangan straight set 21-9, 21-7 sekaligus bakal berdepan tugas sukar apabila dijadual bertemu gandingan China, Liu Cheng-Zhang Nan diperingkat suku akhir esok.

Satu lagi bergu negara yang mengesahkan slot ke suku akhir adalah pasangan bergu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Bergu campuran negara ini menundukkan satu lagi pasangan Indonesia, Hendra Tandjaya-Sekartaji Putri juga dengan kemenangan straight set 21-10, 21-5 dalam masa 23 minit.

Peng Soon (gambar utama) dan Yee See akan bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto diperingkat suku akhir petang esok.

Aksi perseorangan lelaki dan wanita negara pula berakhir selepas wakil tunggal negara tewas kepada lawan masing masing.

Aksi perseorangn lelaki menyaksikan Zulfadli Zulkifli tewas straight set kepada wakil Korea Selatan, Lee Hyun Il, 20-22, 15-21 manakala Sonia Cheah yang merupakan wakil tunggal negara dalam aksi perseorangan wanita gagal meneruskan saingan ke suku akhir selepas kecundang ditangan Saina Nehwal dari India dalam pertarungan tiga set, 15-21, 22-20, 14-21. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -