Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pasukan-pasukan Liga Malaysia hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pihaknya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah tersebut dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara ini.

Sehubungan itu, Dato’ Ab Ghani menegaskan salah satu kaedah iaitu Home Based Training tidak lagi digunapakai untuk pasukan yang berada dalam PKP di mana mereka dikehendaki mematuhi Camp Based Training sahaja selepas MFL mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM semalam.

Tegas lagi Dato’ Ab Ghani, gelembung sukan yang dipratikkan oleh pasukan-pasukan Liga Malaysia sejak 15 Februari 2021, akan ‘pecah’ sekiranya mana-mana kelab yang berada dalam kawasan PKP menjalani sesi latihan secara Home Based Training.

“MFL dengan kerjasama beberapa agensi pihak kerajaan telah memahami dengan keadaan semasa COVID-19 dan bersetuju untuk memperketatkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang penganjuran Liga Malaysia musim 2021 ketika pandemik COVID-19 semakin serius menular dalam negara buat masa ini selepas mengadakan mesyuarat dalam talian bersama KKM, KBS dan MSN semalam.

“Justeru, pasukan yang berada di dalam kawasan PKP hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sahaja buat masa ini dan mereka tidak dibenarkan menggunapakai kaedah Home Based Training.

“SOP iaitu pegawai dan pemain pasukan hendaklah menjalani Ujian Calitan PCR sebelum mengadakan latihan diperketatkan lagi di mana pasukan dikehendaki mengemukakan pelan latihan, keselamatan dan ujian PCR selain mereka turut dikehendaki menamakan venue latihan dan penginapan kepada MFL.

“Camp Based Training boleh bermula pada bila-bila masa sebaik pasukan telah memohon kepada MFL di mana MFL akan memaklumkan permohonan pasukan kepada KBS,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani turut menjelaskan perkembangan pasukan-pasukan yang berada dalam negeri Sabah dan Sarawak termasuk Kedah.

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di Sabah dan Sabah FC dibenarkan menjalani sesi latihan secara Home Based Training.

“Bagaimanapun, bagi Sarawak United FC dan Sarawak FC, mereka dituntut menjalani sesi latihan secara Camp Based Training selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan diadakan biarpun status mereka hanya PKPB.

“Kedah Darul Aman (KDA) perlu keluar dari kawasan mereka sebagaimana Kota Setar masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training di kawasan PKP atau PKPB,” ujarnya.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani juga memberitahu berlaku beberapa pindaan jadual Liga Super dan Liga Premier sebaik Liga Malaysia kembali bersambung pada Jun dan Julai depan.

Kata Dato’ Ab Ghani, pindaan itu tidak dapat dielakkan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan KDA serta Terengganu FC (TFC) bermain dalam kempen Piala AFC dihendaki kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air.

“JDT akan bermain ACL di Thailand manakala KDA dan TFC bermain Piala AFC di Singapura nanti.

“Sebelum ini pasukan hanya dihendaki kuarantin selama tujuh hari sehaja selepas pulang dari luar negara tetapi KKM dan MKN menetapkan kuarantin selama 14 hari sekembalinya mereka ke tanah air, bagi mengelakkan sebarang pembawa virus baharu masuk ke dalam negara.

“Selain daripada itu, pasukan kebangsaan yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 turut menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara salah satu faktor jadual Liga Super dan Liga Premier dipinda.

“Saya berharap pasukan bersedia dengan perancangan masing-masing dan sentiasa menjaga SOP gelembung sukan pada setiap masa biarpun liga sekarang sedang berehat,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani mengesahkan pasukan Liga Super dan Liga Premier yang telah berada di dalam gelembung Camp Base Training dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan tanpa penonton selepas mendapatkan surat kebenaran daripada polis negeri masing-masing.

SOP ketat ini akan dipantau oleh MFL dari semasa ke semasa dan akan dimaklumkan kepada pasukan-pasukan jika terdapat sebarang perubahan.

- Advertisement -