Kecederaan yang menimpa penjaga gol utama, Izham Tarmizi, membuka kesempatan buat Zarif Irfan memperagakan aksi yang cemerlang pada perlawanan pembukaan Liga Super, minggu lalu.

Ibarat bulan jatuh ke riba, dia berharap mampu menambat hati barisan kejurulatihan Sri Pahang FC dan peminat-peminat setia Tok Gajah bagi terus diberikan peluang selaku penjaga gol utama.

Tambahnya, musim lalu menjadi antara detik paling mencabar buat dirinya apabila kurang mendapat minit permainan namun dia sama sekali enggan berputus asa bagi mencipta nama bersama Sri Pahang.

” Sememangnya bagi posisi penjaga gol, Izham ada kelebihan berbanding saya kerana dia mempunyai pengalaman yang cukup luas semasa bersama JDT (Johor Darul Ta’zim), pernah bermain skuad kebangsaan selain pengalaman di pentas AFC.

” Dapat menggantikan Izham tempoh hari ibarat rezeki buat saya tetapi dalam masa sama saya harap dia akan segera pulih dan tidak ditimpa sebarang kecederaan serius.

” Mungkin ada peminat yang kurang melihat persembahan saya selepas musim lalu saya hanya diturunkan dalam satu perlawanan Liga Super selain Piala FA.

” Jadi situasi ini ibarat satu batu loncatan buat saya membuktikan sesuatu kepada jurulatih serta penyokong-penyokong jika diturunkan berdepan Kelantan dan perlawanan-perlawanan akan datang.

” Walaupun saya ada dapat tawaran dari pasukan lain pada musim ini, saya memilih terus bersama Sri Pahang kerana percaya akan ketentuan rezeki sama ada baik atau lambat, saya akan terus bersabar demi mendapat peluang untuk bermain, ” katanya.

Izham mendapat kecederaan serius di bahagian kepala setelah bertembung dengan pemain Negeri Sembilan, Hasbullah Abu Bakar pada permulaan separuh masa kedua sebelum Zarif masuk menjadi pemain gantian.

Zarif menyertai Sri Pahang pada musim 2021 dari Felda United dan sering kali berada dalam kesebelasan utama sebelum masalah kecederaan membuka ruang kepada Helmi Eliza merampas tempatnya selaku penjaga gol utama.

Musim lalu, dia sekadar memanaskan bangku simpanan ekoran kehadiran penjaga gol import, Mamadou Samassa yang menyukarkan peluang merebut tempat.

Berdepan Kelantan FC pada di Stadium Darul Makmur, Zarif sudah mengkaji serba sedikit kekuatan lawan yang tewas 1-2 pada perlawanan pembukaan kepada Kuching City FC.

Namun, dia berasakan lawan belum menyerlahkan potensi sebenar ditambah dengan kehadiran import baharu, Leo Rolon, yang baharu hadir ke bumi Kelantan.

” Saya ada menyaksikan semula pertemuan Kelantan dan Kuching City, setakat ini pemain nombor 9 (Nuha Marong) antara yang perlu diberikan perhatian.

” Dalam masa sama, saya rasa Kelantan belum menyerlahkan kekuatan sebenar dan aksi dengan kami pasti sukar dijangka dengan adanya pemain import baharu.

” Saya harap melalui aura dimiliki ketua jurulatih, Fandi Ahmad selain aksi sulung di tempat sendiri, peminat-peminat boleh hadir memberikan sokongan kepada kami dalam mencari kemenangan sulung,” katanya.

- Advertisement -