Oleh Ku Mohd Lufti

Enam pelumba daripada Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang bakal mewakili negara di Sukan SEA ke 29 Ogos nanti bakal menjalani latihan pusat serta beberapa kejohanan di China dan Jepun bermula penghujung Mei ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus menjelaskan, selain menjalani latihan, enam pelumba ini iaitu, adik beradik, Mohd Zamri dan Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohammad Adiq Hussaini Othman, Anuar Manan dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki akan turut menyertai perlumbaan Jelajah Jepun yang dijadual berlangsung pada 21 Mei depan.

“Nur Amirul menggantikan Saiful Anuar Aziz yang kini dilantik menjadi Pembantu Pengarah Sukan TSG.

“Ketika ini pasukan sedang menjalani kem latihan di Ipoh dan Cameron selama tinga minggu sebelum menyertai Jelajah Jepun,”Kata Nasiruddin.

Tambahnya lagi, pelumba pelumba ini akan diselia oleh jurulatih TSG, Jeremy Hunt sepanjang sesi latihan dan kejohanan yang disertai.

“Selepas Jelajah Jepun dan Korea yang akan berlangsung pada 14 Jun, pelumba pelumba akan menyertai Jelajah Tasik Qinghai di China yang merupakan perlumbaan berstatus 2HC dan ia merupakan perlumbaan terakhir mereka,”Katanya lagi.

Tambahnya lagi, Jelajah Tasik Qinghai dijadual berlangsung dari 16 hingga 29 Julai, dan selepas itu, kesemua pelumba dijangka menjalani latihan di sekitar Kuala Lumpur bagi menyesuaikan diri dengan laluan yang akan digunakan ketika di Sukan SEA kelak.

Pada awal tahun ini, pelumba TSG menjalani latihan serta perlumbaan di Melbourne, Australia selama sebulan sebelum turun beraksi di Le Tour de Langkawi 2017.

Acara bagi berbasikal lebuhraya akan membuka gelanggang bermula 21 hingga 24 Ogos, menawarkan lima pingat emas.

- Advertisement -