Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ingin memaklumkan bahawa status Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang kini berada di Donghae, Korea masih lagi menjadi tanda tanya adakah pasukan negara akan bersaing di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2021 atau tidak.

Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan tiba di Korea pada Isnin (29 November) jam 9.00 pagi dan telah menjalani ujian calitan Covid-19 pada Selasa (30 November).

Hasil daripada ujian tersebut yang diterima pada Rabu (1 Disember) mendapati salah seorang pemain iaitu, Nurul Faezah Shafiqah Khalim, disahkan positif Covid-19 dan telah diasingkan daripada pasukan kebangsaan bagi menjalani proses kuarantin.

Keputusan Nurul Faezah yang disahkan Positif Covid-19 itu turut menjadi tanda tanya kepada KHM kerana sebelum berlepas ke Korea, keseluruhan barisan pemain, kejurulatihan dan pegawai sokongan telah diwajibkan melakukan ujian calitan Covid-19 bagi membolehkan mereka untuk berlepas ke Korea dan keputusan ujian di Kuala Lumpur itu mendapati ke semua mereka Negatif Covid-19 dan dibenarkan melakukan perjalanan.

KHM berasa, Nurul Faezah mungkin dijangkiti Covid-19 ketika dalam perjalanan ke Korea, sama ada ketika di lapangan terbang atau di dalam pesawat menuju ke Korea. Bagaimanapun Nurul Faezah dan keseluruhan pasukan negara (pemain, barisan kejurulatihan dan Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM) kini berada di dalam keadaan sihat walafiat dan tidak menunjukkan sebarang gejala, tanda-tanda atau simptom Covid-19.

Keputusan ujian itu juga menyebabkan keseluruhan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan (pemain, barisan kejurulatihan dan Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM) perlu menjalani kuarantin di pusat penginapan dan tidak dibenarkan sama sekali untuk keluar daripada bilik, sekaligus tidak dapat melakukan sebarang persiapan atau latihan persediaan akhir menjelang kejohanan.

Kini pasukan negara masih lagi menunggu keputusan ujian calitan kedua yang telah dilakukan oleh mereka semalam (Khamis, 2. Disember) dan turut menanti apakah keputusan muktamad yang akan dilakukan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengenai status pasukan negara dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2021.

Sebelum itu, Pakar Pukulan Sudut Penalti Negara, Nuraini Abdul Rashid yang pulang daripada England selepas beraksi bersama pasukan East Grinstead H.C, turut disahkan Positif Covid-19 selepas keputusan ujian calitan yang dilakukan setiba di Malaysia diterima dan kini Nuraini masih menjalani proses kuarantin di Kuala Lumpur.

Pihak KHM pada masa ini masih menunggu keputusan terkini daripada AHF dan Persatuan Hoki Korea mengenai Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan. Perkembangan dan keputusan yang dijangka akan diterima esok, akan dimaklumkan kepada semua pihak

- Advertisement -