Empat wakil negara merangkul gelaran juara di kejohanan badminton Antarabangsa Hellas yang berlangsung di Greece semalam.

Gandingan Yap Roy King-Valeree Siow memastikan nama mereka dipahat selaku juara bergu campuran selepas melakar kejutan ke atas pilihan ketiga dari Norway, Carl Christian Mork – Solvår Flåten Joergensen dengan kemenangan straight set 21-13, 21-17.

Ini merupakan kejuaraan kedua bergu muda ini selepas muncul juara di kejohanan Antarabangsa Latvia penghujung Ogos lalu.

Pemain paling cemerlang pastinya milik Valeree Siow yang turun sekali lagi kali ini dalam acara bergu wanita dimana gandingannya bersama Low Yeen Yuen nyata tidak mengecewakan apabila menundukkan pilihan kedua dari Itali Katharina Fink – Yasmine Hamza juga dengan kemenangan straight set 21-15, 21-16.

Perseorangan lelaki, Lee Shun Yang turut cemerlang selepas menundukkan pilihan kelima dari Republik CZech Jan Louda straight set 21-14, 24-22.

Sementara bergu lelaki Wan Mohd Arif Wan Junaidi – Muhd Haikal Nazri menang ke atas pasangan dari Republik Czech, Ondřej Král – Adam Mendrek 21-16 21-15.

Kemenangan ini sedikit sebanyak mengubati kekecewaan mereka apabila tewas kepada Muhd Nurfirdaus Azman-Yap Roy King di peringkat separuh akhir kejohanan Antarabangsa Latvia penguhujung Ogos lalu. 

- Advertisement -