Pemerhati bola sepak negara, Datuk Dr Pekan Ramli melihat peluang pemain tempatan tetap tidak diketepikan sekiranya mereka mampu saling berdaya saing meskipun kuota pemain import atas padang bertambah pada musim ini.

Terdahulu, Malaysian Football League telah mengumumkan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025 selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL menyaksikan 6 pemain import (iaitu 4+1 (Asia) + 1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

Justeru, Pekan menyifatkan persaingan yang akan ditampilkan antara pemain import dan pemain tempatan akan lebih kompetitif untuk mereka bersaing secara sihat merebut tempat.

Sekiranya masing-masing tahu untuk menampilkan kualiti yang diinginkn pengendali, beliau percaya kudrat pemain tempatan juga tetap diperlukan selain kelab-kelab pastinya tahu keperluan jumlah pemain import yang diperlukan mereka.

“Persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama untuk pemain tempatan pasti akan menjadi lebih kompetitif dan untuk itu, pemain tempatan perlu bekerja lebih kuat.

“Jadi, hanya mereka yang mampu berdaya saing sahaja mampu untuk mendapat tempat dan peluang bermain.

“Secara tidak langsung, mereka ini adalah dalam kategori pemain tempatan yang mempunyai kualiti untuk disenaraikan bagi panggilan ke skuad kebangsaan nanti sekiranya mereka mampu memberikan saingan sengit kepada pemain import lain”, jelasnya.

Dalam masa sama, Pekan turut sama melihat kelebihan yang akan diperoleh oleh pasukan yang bakal berentap di pertandimgan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 untuk barisan pemain memantapkan lagi keserasian mereka bagi saling memburu minit permainan di perlawanan.

“Tambahan ini juga akan memberi kelebihan. kepada pasukan yang layak beraksi di peringkat ACLE dan ACL 2 kerana ianya penting bagi pemain tempatan dan pemain import saling memburu minit permainan.

“Jadi, dengan persaingan ini, saya percaya mereka akan lebih mantap untuk berentap di pertandingan tersebut yang merupakan peringkat lebih tinggi.

“Jika tidak, saya rasa pasukan atau kelab yang mewakili negara nanti pasti sukar untuk pergi ke peringkat lebih jauh dan dengan persaingan ini saya tahu ia akan memberikan lebih kekuatan kepada pasukan”, tambahnya.

- Advertisement -